Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR – Keputusan Indonesia untuk menyerahkan kapal mewah Equanimity kepada Malaysia melanggar undang-undang negara itu dan Amerika Syarikat.

Low Taek Jho, individu utama yang dikehendaki berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu adalah satu pelanggaran undang-undang Indonesia dan keputusan mahkamah oleh Malaysia adalah bermotifkan politik.

“DoJ Amerika Syarikat telah menyatakan untuk memiliki kapal itu bagi memastikan aset berkenaan dapat mengekalkan nilainya hingga pendengaran di mahkamah untuk menentukan pemilikan muktamad dan hak semua pihak yang terlibat,” kata Low seperti yang dilaporkan Bloomberg.

Kapal layar yang didaftarkan di Pulau Cayman itu disita pada Februari atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah yang dilancarkan oleh Jabatan Keadilan (DoJ).

Indonesia telah bersetuju untuk menyerahkan kapal layar mewah ke Malaysia pada hari ini, lapor akhbar Straits Times Singapura, yang memetik sumber pegawai kerajaan dan eksekutif kewangan.

Low telah diarahkan oleh Mahkamah Amerika Syarikat pada Mei untuk menyerahkan kapal layar super kepada pihak berkuasa negara itu, yang merancang untuk belayar dari Indonesia dan menjualnya di Amerika Syarikat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata,, beliau sedang berusaha mendapatkan semula dana berjumlah AS$4.5 bilion milik 1MDB.

Sabtu lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mematuhi undang-undang untuk menahan mana-mana indivdu yang melakukan kesalahan terhadap negara.

Sestyo Wasisto, jurucakap polis Indonesi berkata, beliau tidak dapat mengulas mengenai penyerahan kapal layar itu. – MalaysiaGazette