Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – UMNO menggesa Majlis Raja-Raja
mengambil pendirian berhubung beberapa perkara melibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang didakwa telah melakukan pengkhianatan kepada kerajaan terdahulu.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia bertujuan bagi menyelamatkan rakyat dan negara daripada menjadi sebuah lagi negara Islam seperti Yemen, Libya, Iraq dan Syria yang pernah membenarkan campurtangan asing ke negara mereka.

Menurutnya, pendedahan Daniel Twining yang merupakan anggota Pusat Kajian Strategik Amerika Syarikat (CSIS) berhubung penglibatan pihak luar di negara ini telah membongkar kegiatan khianat DAP dan konco-konconya selama ini.

“Sama ada Tun Dr. Mahathir Mohamad terbabit atau tidak, itu tidak boleh disahkan namun CSIS yang beroperasi di Malaysia sejak tahun 2002, cukup bangga selepas berjaya berkomplot dengan pembangkang bagi menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional pada PRU-14.

“UMNO mencabar Lim Kit Siang menafikan perkara ini secara terbuka dan bersumpah kepada rakyat Malaysia bahawa apa yang dikatakan oleh Twining itu adalah bohong.

“Mahathir juga perlu menjelaskan bahawa crocodile tears ketika mengumumkan mahu meletak jawatan pada Perhimpunan Agung UMNO 2003 sebenarnya adalah sandiwara kerana niat memusnahkan parti sudah wujud sejak kerjasamanya dengan CSIS,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shamsul berkata, gerakan yang menjual maruah negara ini sungguh menyedihkan kerana apa-apa hasil kerjasama dengan agensi asing itu turut mencerminkan betapa Malaysia ‘mudah dibeli’ atas nama demokrasi.

Malah, beliau mendakwa, mereka yang melakukannya sangat tidak bertanggungjawab serta membelakangkan kedaulatan negara.

Tegasnya, menerusi bantuan dana kepada DAP oleh National Endowment for Democracy di bawah Jabatan Negara Amerika selama ini, jelas menelanjangkan siapa sebenarnya DAP, Lim Kit Siang dan rakan-rakan ‘demokratiknya’.

“Ini juga mengesahkan dakwaan ejen-ejen media sosial mereka selama ini digerakkan dengan mewah menggunakan dana negara asing yang mahu melihat BN dan UMNO disingkir dari tampuk pemerintahan.

“Sungguh kotor dan keji perbuatan ini dan pada hari ini, mereka tetap akan menafikan dakwaan ini.

“Malah secara berterusan berusaha memesongkan perhatian rakyat dengan mengatakan ekonomi negara sedang meleset dan kerajaan terdahulu kejam dan zalim. Semua ini tidak benar sama sekali,” tegasnya lagi.

Tambah beliau, tuduhan Dr Mahathir ketika berucap di Pulau Pinang dalam satu majlis yang diadakan semalam seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada rakyat.

Ujarnya, sikap Mahathir yang selama ini menuduh BN ingin menjual negara kepada China sedangkan ketika menjadi pembangkang, mereka sudah pun menggadai maruah Malaysia kepada orang asing.

“Akhirnya ia terbongkar jua apabila video CSIS ini tersebar luas di Internet. Apa lagi yang mahu dikatakan oleh Kit Siang dan gengnya? Berapa ratus juta diperuntukkan kepada Red Bean Armynya? Malah mereka menuduh orang lain menerima sumbangan luar.

“Kita ingin tahu berapa jumlah dana asing yang diterimanya secara rahsia sejak 2002. Mungkin melebihi RM2.6 bilion yang dijadikan peluru untuk meracun fikiran rakyat mengenai 1MDB?

“Ini pakatan jahat yang perlu disiasat oleh pihak berkecuali. Memandangkan pihak kehakiman dan pihak penguatkuasa lain sudah berada di bawah genggaman mereka, satu badan khas harus dibentuk untuk kes ini supaya siasatan yang adil dapat dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast