Noraini Ahmad
Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pendedahan Daniel Twining berhubung dakwaan DAP telah melakukan pengkhianatan kepada kerajaan terdahulu sepatutnya menjadi perdebatan di Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pengakuan Twining itu merupakan satu perkara yang amat serius dan wajar untuk dibahaskan di Parlimen.

“DAP dan konco-konconya jangan seperti ‘kura-kura yang menyorok kepalanya di dalam cengkerang’ untuk menjawab pendedahan Daniel Twining, anggota Pusat Pengajian Antarabangsa Strategik Amerika Syarikat (CSIS) yang mengakui berkomplot dengan pembangkang sejak 2002 bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Mengapa sehingga kini kepimpinan DAP masih lagi ambil sikap berdiam diri daripada memberikan sebarang penjelasan atau membuat penafian kepada rakyat berhubung pendedahan Twining ini?,” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Noraini berkata, Wanita UMNO kesal dengan tindakan membisu DAP dan konco-konconya untuk merungkai persoalan campurtangan asing dalam sistem demokrasi di negara ini biarpun Twining telah mendedahkannya.

Katanya, campurtangan itu menerusi pembiayaan dana tidak boleh dibiarkan kerana selain kedaulatan negara terancam ia berupaya menaikkan atau menjatuhkan kepimpinan kerajaan termasuk yang diterajui oleh gabungan Pakatan Harapan hari ini.

“Sebelum ini pun, DAP tidak berani untuk menghadapi dan beri penjelasan kepada rakyat mengenai dakwaan parti itu ditawarkan dana AS$300 juta (RM1.2 bilion) dari pihak rejim Israel sekiranya mereka dapat menawan Putrajaya pada PRU ke-13 daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Walhal hakikatnya tuduhan ini begitu besar dan serius yang telah dibuat sendiri oleh Mohamed Razali, bekas pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang,” ujarnya.

Tambah beliau, kegagalan DAP menafikan dakwaan yang dibangkit terhadap parti itu beberapa tahun lepas termasuk memperjelaskan pendedahan Twining akan menyebabkan persoalan mengenai perkara itu tidak terjawab, sekaligus dikhuatiri menimbulkan rasa syak wasangka rakyat terhadap kejujuran DAP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast