Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua (kiri) mengatakan sesuatu kepada Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (kanan) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Tony Pua mendakwa semua parti politik di Malaysia terlibat dengan latihan yang dianjurkan oleh Institut Republikan Antarabangsa (IRI).

Bukan sahaja partinya, DAP, malah UMNO, Pas, Gerakan, MCA juga pernah terlibat terlibat dengan latihan anjuran IRI.

“Tak kiralah UMNO, Gerakan, MCA, DAP semua terlibat kerana latihannya seperti komunikasi dan Internet.

“Jadi mereka menganjur latihan melibatkan semua parti. Ia bukan sahaja kami. Mereka juga telah mengeluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

IRI adalah sebuah pertubuhan dikaitkan dengan tokoh kanan parti Republikan dan bekas pegawai tinggi perisikan Amerika Syarikat (AS) yang mengakui telah bekerjasama dengan parti pembangkang di negara ini untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut IRI dalam satu forum, ia telah membantu mengukuhkan parti pembangkang Malaysia sejak tahun 2002 lagi.

Dalam forum itu, kumpulan tersebut turut menyebut pentadbiran Pakatan Harapan mendatangkan manfaat kepada Washington. -MalaysiaGazette