PETALING JAYA – Walaupun ‘berpuak-puak’ tidak salah menjelang pemilihan parti  namun ia tidak digalakkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din.

Bagaimanapun semua ahli dinasihatkan mewujudkan suasana harmoni dan sihat seperti perlawanan persahabatan dan tidak terlalu menunjukkan kecenderungan sokongan.

“Nak kata dia langgar tidak boleh kata macam tu (tidak juga), tapi tidak digalak kita mahu adakan friendly match. Perlahan sedikit (puak-puak).

“Berpihak-pihak ini saya tak berapa suka cuba tunjuk dia sokong ini, ini sokong ini,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin baru-baru ini mengakui sudah wujud beberapa kem dalam parti itu menjelang pemilihan yang disifatkannya  sesuatu yang biasa.

Justeru, semua ahli PKR pada pemilihan kali ini turut diingatkan untuk mengelakkan perbuatan ‘membeli undi’ atau paksaan memberikan sokongan.

Sebaliknya, tambah Rashid, calon yang bertanding perlu menggunakan prestasi dan hala tuju untuk mengukuhkan lagi parti.

“Antara etika semasa pemilihan satu daripadanya adalah kekerasan, gangsterisme, pemaksaan atau ugutan untuk meraih sokongan elakkan perbuatan yang boleh ditafsirkan sebagai membeli undi.

“Guna kekuatan, prestasi sendiri dan gerak kerja untuk menarik untuk dipilih.Tumpukan kepada beritahu ahli apaapa manifesto kamu untuk kuatkan parti,” ujarnya lagi.

Peranan ahli yang kalah katanya  masih diperlukan dalam parti.

“Saya harap yang kalah tidak menjadi pembangkang dalam parti, yang kalah masih diperlukan untuk dalam parti,” tambahnya lagi. -MalaysiaGazette