SHAH ALAM – Kemunculan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak bukan faktor utama kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis baru-baru ini.
Sebaliknya Timbalan Pengerusi Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, analisis perlu dibuat secara terperinci agar strategi yang sesuai untuk menarik undi dapat digunakan bagi menghadapi pilihan raya kecil yang akan datang tanpa perlu menyalahkan mana-mana pemimpin.
“Tuding jari sana sini sangat subjektif. Kita tidak ada hitam putih yang mengatakan orang ini datang membawa kekalahan, orang itu datang membawa kemenangan dan sebagainya.
“Jadi elok kita perincikan dan kita analisis betul-betul dengan tepat baru kita buat rumusan,” katanya dipetik sebagai berkata hari ini.
Untuk itu, Nadzari berkata, BN Selangor bakal berbincang tentang gerak kerja kempen untuk PRK Seri Setia dan Balakong yang bakal diadakan pada 8 September.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua UMNO Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa BN sepatutnya merehatkan bekas Perdana Menteri itu daripada berkempen kerana kini Najib berdepan dengan kes salah guna kuasa dan pecah amanah SRC International.-MalaysiaGazette
















