Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan ‘bermain politik’ dengan menyalahkan kerajaan terdahulu perlu dihentikan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ketua Pembangkang, tidak ada apa yang boleh dituding kepada kerajaan sebelum ini membabitkan kecurian kerana perbelanjaan yang dikeluarkan ketika memerintah negara adalah untuk rakyat.

“Saya tidak memikirkan itu kehilangan tetapi wang itu disatukan di dalam akaun amanah yang disatukan di mana wang itu harus dilihat di dalam kumpulan dana wang berkenaan.

“Jika wang itu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang tidak mematuhi peraturan perbendaharan, barulah wang itu dinamakan satu kecurian,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, jika wang itu dibelanjakan untuk pelbagai projek yang ditentukan melalui bajet atau di luar ucapan belanjawan, peruntukan tambahan perlu dikemukakan di dalam dewan untuk diperbahaskan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas permasalahan yang berlaku ketika pelaksanaan sistem GST yang mana terdapat rungutan peniaga mengenai tuntutan semula wang GST yang dikatakan mengambil masa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan hari ini tidak boleh menuduh dengan sewenang-wenangnya kerajaan terdahulu dengan niat untuk memberi gambaran negatif kepada rakyat.

Katanya, kerajaan yang lalu juga didokong oleh pegawai-pegawai kerajaan terutama Kementerian Kewangan dan mereka harus berlaku adil terhadap pegawai-pegawai berkenaan yang menjalankan tugas mengikut ketaatan kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast