Liow Tiong Lai
Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR- MCA mengakui ia adalah parti “underdog” (bukan pilihan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong 8 Sept ini dan berdepan  laluan getir untuk menyingkirkan DAP dari kerusi itu.

Namun Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata  MCA tetap berharap pengundi akan memberi peluang kepada  parti itu menjadi suara mereka pada peringkat DUN Selangor, sekali gus berperanan  sebagai pemantau serta menyumbang kepada semak dan imbang kerajaan negeri.

“Sentimen rakyat masih tidak memihak kepada kita dan kita perlu berusaha lebih gigih selain memerlukan kekuatan berlebihan untuk menawan semula kerusi DUN ini,” katanya kepada pemberita selepas  melawat  Bilik Gerakan MCA PRK Balakong di sini hari ini.

Dalam pada itu, Liow berkata MCA akan mengumumkan calonnya bagi PRK itu minggu depan.

Mengulas keputusan MCA bertanding menggunakan logo sendiri pada PRK tersebut, bekas menteri pengangkutan berkenaan berkata tindakan menggugurkan logo BN bukan bertujuan mengelak “badi” kekalahan BN tetapi lebih kepada usaha memperkukuh parti.

“Parti sedang melalui fasa transformasi… penggunaan logo sendiri sememangnya tiada kaitan dengan keputusan pada PRK Sungai Kandis,” katanya.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast