PAS sudah umumkan akan letak calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang dijadualkan pada 8 September ini.
Pada masa sama, Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, parti itu tidak akan bertanding pada PRK DUN Balakong, juga diadakan pada tarikh yang sama.
Dengan keputusan itu, secara muktamadnya Pas akan bertemu dengan PKR di DUN Seri Setia, manakala MCA akan berlawan dengan seterunya, DAP di DUN Balakong.
MCA telah memutuskan akan menggunakan logo parti itu sebagai strategi untuk menawan hati masyarakat Cina, manakala DAP untuk pertama kalinya akan menggunakan logo baharu Pakatan Harapan (PH) yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) baru-baru ini.
Kedua-dua kerusi yang kosong itu dimenangi PH sejak Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008 lagi, dan PRK ini bukan masalah besar bagi PKR dan DAP beroleh kemenangan besar mengalahkan Pas dan MCA.
Melihat kepada senario yang berlaku dalam BN dan Pas hari ini, terlalu sukar untuk kedua-dua parti ini hendak memenangi kerusi DUN Seri Setia dan kerusi DUN Balakong yang ketinggalan dengan majoriti sekali hingga lima kali ganda.
Pengundi yang menyokong kedua-dua parti itu pada pilihan raya umum yang lalu juga masih berbelah bahagi sama ada hendak keluar mengundi atau tidak, atau mereka beranggapan cukuplah orang lain yang keluar mengundi.
Kalau mengikut rekod PRU 14 pada 9 Mei lalu, penyandang DUN Seri Setia, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin mendapat sebanyak 29,250 undi, diikuti calon BN, Datuk Yusoff M Haniff memperolehi 9,878 undi; calon Pas, Mohd Ghazali Daud (4,563 undi) dan calon Bebas, S. Vigneswaran (217 undi). Majoriti undi ialah 19,372.
Dalam sidang media di Taman Melewar, Kuala Lumpur semalam, Tuan Ibrahim dengan penuh konfiden, yakin calonnya yang mendapat 4,563 undi pada PRU 14 yang lalu, boleh menang mengalahkan calon PKR.
Bayangkan, partinya yang tertinggal 24,687 undi dengan PKR, boleh lagi bercakap besar akan menang, dan kemenangan itu meletakkan Pas bergantung sepenuhnya kepada penggundi UMNO dan BN keluar memberi undi kepada calonnya.
Jika benar bagai dikata, undi UMNO dan BN yang sebanyak 9,878 itu campur dengan jumlah undi Pas sebanyak 4,563, baharu dapat 14,441 undi. Pas memerlukan 10,246 undi lagi.
Atau katakan calon Bebas tidak bertanding kali ini dan menyatakan sokongan kepada Pas, jumlah undi yang diperolehi S. Vigneswaran sebanyak 217 itu dicampur pula dengan 14,441. Pas hanya mampu mengutip 14,658 undi. Pas perlukan 10,029 undi lagi.
Dapatkah Pas mencari atau ‘mencuri’ pengundi dari PH seramai 10,029 orang lagi untuk menyamakan jumlah undinya dengan calon PKR?
Sedangkan, dalam keadaan semasa hari ini pun, Pas semakin ditinggalkan oleh ahli dan penyokongnya sendiri kerana tidak mempunyai pendirian yang tetap dan teguh.
Ada dalam kalangan ahli dan penyokong Pas yang berusia 50-an masih lagi tidak lupa bagaimana Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan mengkafirkan UMNO pada tahun 1981.
Pada hari-hari biasa, ketika UMNO, BN masih menguasai kerajaan Persekutuan, banyak provokasi dicetuskan oleh pucuk kepimpinannya terhadap UMNO, sehingga ahli dan penyokong akar umbi termakan.
Sekarang, bila dalam keadaan terdesak, hukum UMNO haram, UMNO kafir dihalalkan. Ini bukan tuntutan Islam. Dalam ajaran Islam, kalau haram, ia tetap haram. Tidak boleh dipinda-pinda atau ditukar ganti.
Selain itu, apa yang dilakukan oleh ahli dan penyokong Pas yang tidak keluar mengundi calon BN di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu juga menjadi pengajaran kepada ahli dan penyokong UMNO, BN di DUN Seri Setia.
Takkan orang bagi tuba, kita nak bagi gula. – MalaysiaGazette