Rayer
RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Kalau satu ketika dahulu, nama ‘Jelutong’ gah apabila mendiang Karpal Singh menjadi wakil rakyat bagi kawasan itu popular kerana kelantangan berhujah ketika sidang Dewan Rakyat, kini populariti serta ‘huru hara’ itu masih tidak berubah.

Kali ini, wakil rakyatnya, RSN Rayer pula sentiasa dianggap sebagai pengacau, ‘budak nakal’ serta tidak sunyi daripada kontroversi berikutan kelantangan serta pertanyaan-pertanyaan yang kadangkala dianggap lari tajuk.

Malah Rayer yang juga merupakan pengamal undang-undang dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima juga disifatkan terlampau ‘obses’ kerana fokus tentang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Boleh dikatakan saban hari ketika Rayer berada dalam Dewan Rakyat, suasana yang ‘aman’ akan kembali gamat sekelip mata apabila dia mempersoalkan tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pastinya, nama Najib dan Rosmah akan terpalit sama.

Bagaimanapun, ketika bercakap dengan MalaysiaGazette di Parlimen baru-baru ini, Rayer tampil bukan sahaja ‘sopan’, malah penggunaan bahasanya juga tampak bijak dan berbudi pekerti tinggi, tidak seperti ketika berada dalam Dewan Rakyat.

Rayer  juga menafikan dirinya terlampau obses atau sengaja ‘lari tajuk’.

Beliau juga menolak dakwaan kononnya sengaja mencari publisiti murahan baik menaikkan namanya supaya setaraf dengan mendiang Karpal.

“Sebenarnya saya bukan obses, saya hanya fokus kepada apa yang menjadi kepentingan rakyat. Rakyat mahu tahu apa yang sedang berlaku, mereka juga mahu kebenaran tentang kerajaan terdahulu.

“Saya lantang dan bertubi-tubi bertanyakan tentang isu 1MDB, juga tentang isteri Yang Berhormat Pekan kerana rata-rata yang duduk sebelah sana (pembangkang) hanya sekadar mengunci mulut setiap kali soalan-soalan itu dilontarkan. Rakyat sangat berminat untuk tahu. Jika tidak takut, jawablah.

“Satu lagi sebab mengapa saya banyak menyoal tentang skandal-skandal yang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri dan isterinya kerana banyak kepincangan berlaku di bawah pentadbiran sebelum ini. Rata-rata pengundi kawasan saya terutamanya yang telah bersara seringkali bertanyakan kepada saya bolehkah soalan-soalan itu di soal dalam Dewan Rakyat?

“Mereka semua menonton siaran secara langsung. Saya seringkali dilontarkan soalan seumpama itu daripada pengundi kawasan saya sendiri. Apatah lagi isu ini sebenarnya penting, anda bayangkan, rakyat biasa ini sebenarnya terpaksa membayar cukai GST untuk susu dan lampin bayi.

“Soalan saya senang sahaja, adakah isteri Pekan membayar untuk kesemua intan dan berlian yang dibawa masuk ke dalam negara ini? Rakyat mahu tahu, apa salahnya, saya bertanya? Soalan ini penting agar isu ini tidak terus dilupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di tanya tentang ‘kelakuannya’ yang seringkali menimbulkan rasa tidak puas hati bukan sahaja dalam kalangan wakil rakyat dalam Dewan, malah media yang membuat liputan di Parlimen.

Selain menyoal dan membuang masa perbahasan, Rayer juga kadangkala tampil dengan bahasa-bahasa ‘kasar’ menyebabkan perbahasan terpaksa dihentikan seketika sehingga kenyataan atau perkataan itu ditarik kembali, antaranya ‘Kepala Bapak Kau’.

Menurut Rayer, beliau juga sebenarnya tidak serik dan akan berterusan bersikap sedemikian sehingga seluruh rakyat Malaysia berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Saya mengaku saya menjadi ‘pengacau’ kadang kala. Tidak mengapa, pada saya, beri saya peluang untuk menyoal dan tolong jawab. Itu sahaja, mudah. Jika anda berani, anda perlu sahut cabaran dan jawab. Tidak perlu takut.

“Kalau kita perlu laksanakan tugas untuk rakyat, tidak mengapa biar orang tafsirkan apa pun tetapi saya yakin isu-isu yang dibahaskan oleh saya telah diberi perhatian. Pada masa yang sama, jangan ganggu saya juga, jika tidak, perlu berdepan dengan ‘kelantangan’ saya.

“Saya tidak perlukan publisiti kerana saya bukan sahaja seorang peguam,  malah bekas ADUN untuk dua penggal, saya memang begini sejak dulu lagi. Kepentingan saya adalah kepentingan rakyat dan saya komited walau apapun label yang diberikan kepada saya,” tegasnya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast