KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin PKR mendakwa sekiranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti itu, peluang untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri tidak akan kesampaian.

Ini kerana dakwanya, beliau mendapat maklumat kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan mahu mengubah perjanjiannya terdahulu untuk memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun, sebelum diserahkan kepada pengantinya, Anwar.

Bagaimanapun, kata pemimpin itu, hakikatnya perjanjian itu tidak akan berlaku, malah kehadiran bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang dikatakan turun membantu Mohamed Azmin, sebagai tanda jelas usaha mensabotaj Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Rakan-rakan tanya saya kenapa pilih calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, bukan pilih penyandang Timbalan Presiden, Mohamed Azmin?

“Saya jawab, (Mohamed) Azmin bagus, tapi Rafizi lagi bagus,” katanya yang dipetik sebagai berkata menerusi rakaman pendek klik video yang tular di laman sosial sejak semalam.

Pemimpin itu yang juga seorang Ahli Parlimen turut dilaporkan berkata, kalau hendak tengok Anwar menjadi Perdana Menteri, Rafizilah Timbalan Presiden PKR.

Tetapi, ujar beliau, kalau tidak mahu tengok Anwar menjadi Perdana Menteri, pilihlah Mohamed Azmin.

“Kerana (Mohamed) Azmin didokong oleh Tun Daim dan Tun M (Mahathir) yang sudah tentu tidak mengizinkan Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Itu jelas dalam kenyataan mereka, yang mengatakan perjanjian itu (perjanjian sebelum PRU 14, yang mahu Anwar sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir) bukan perjanjian mutlak,” katanya.

Dalam pemilihan PKR ini, Anwar menang tanpa bertanding jawatan Presiden, manakala Timbalan Presiden menyaksikan Mohamed Azmin dicabar oleh Rafizi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast