Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat seolah-olah masih terasa hati serta merajuk dengan kritikan daripada pembangkang khasnya Pas berikutan kenyataan ‘menghina’ beliau beberapa hari lepas di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan dakwaan beliau disekat daripada memasuki China.

Beliau menegaskan dakwaan Tan Sri Annuar Musa (Ketereh- BN) merupakan fitnah yang tidak berasas.

“Saya kesal bahawa beliau masih menyatakan perkara-perkara yang tidak benar.

“Saya harap bahawa fitnah-fitnah ini tidak harus diteruskan oleh pihak Barisan Nasional (BN),” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Annuar dalam sesi perbahasan berkata, Guan Eng disekat oleh pihak berkuasa China daripada memasuki negara itu kerana mendakwa masalah yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Bagan itu.

Pada 6 Julai, Kementerian Kewangan mengumumkan penggantungan tiga kontrak dengan syarikat China, dua daripadanya melibatkan projek paip gas yang dikendalikan oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Dalam pada itu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) juga mengarahkan kontraktor utama ECRL, China Communication Construction Company (CCCC) menghentikan kerja-kerja kontrak yang dijalankan.

Ketika serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan pada 18 Julai yang lalu untuk merampas dokumen berkaitan Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP), Tun Daim Zainuddin dihantar sebagai utusan khas mewakili kerajaan persekutuan untuk bertemu Menteri Luar China, Wang Yi dipercayai bagi membincangkan kontrak ECRL, MPP, dan TSGP.

Akhbar Straits Times Singapura pernah melaporkan spekulasi serbuan itu sama ada untuk memalukan Daim, yang dilihat sangat berkuasa sebagai pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, atau bertujuan menekan kerajaan China berhubung percubaan Malaysia berunding semula terma pinjaman daripada negara itu untuk 2 projek saluran paip gas tersebut dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam masa yang sama Guan Eng menafikan mengeluarkan arahan kepada SPRM untuk membuat serbuan dan rampasan dokumen terbabit.

Dalam pada itu, Rang Undang-undang Perbekalan (Peruntukan Semula untuk tahun 2018) diluluskan di peringkat Dewan Rakyat hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast