PUTRAJAYA – Premis yang menawarkan khidmat urut badan beserta tawaran seks sampingan urutan batin menggunakan wanita warga asing berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia.

Unit Operasi Khas (QRT), Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Unit Penguatkuasa Imigresen Muar, Johor telah menyerbu lapan premis psat urut di Jalan Bakri, Muar Johor dalam Ops Mega 3.0 semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan oleh 21 anggota penguat kuasa itu berdasarkan risikan awal mendapati premis berkenaan secara tersembunyi menawarkan pakej urutan batin oleh wanita warganegara asing tanpa pas yang sah.

“Hasil pemeriksaan telah berjaya menahan seramai 24 wanita dan tiga lelaki asing iaitu 15 wanita warganegara Thailand, enam wanita dan dua lelaki warganegara Vietnam, dua wanita dan seorang lelaki warganegara China serta seorang wanita warganegara Myanmar,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mustafar,  dalam serbuan sama, pihaknya turut menahan lima lelaki dan seorang wanita warganegara Malaysia yang disyaki pemilik, penyelia dan juga juruwang premis pusat urut tersebut.

Justeru katanya, dokumen dan lesen perniagaan premis berkenaan dirampas oleh anggotanya bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati semua premis urut ini menawarkan pakej urutan badan bersama urutan batin dengan harga dari RM100 hingga RM150.

“Risikan awal juga mendapati wanita-wanita yang bekerja sebagai tukang urut ini menunggu di tingkat atas rumah kedai. Apabila pelanggan telah bersetuju barulah penjaga premis memanggil wanita-wanita ini untuk pelanggan membuat pilihan,” ujar beliau.

Malah kata beliau kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen dan ditahan untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Ketika ini kesemua tahanan berkenaan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Johor untuk siasatan dan tindakan susulan.

“Imigresen menyeru agar orang ramai tampil ke hadapan dan menyalurkan maklumat kepada Imigresen sekiranya mempercayai terdapat aktiviti-aktiviti menyalahi undang-
undang di kawasan persekitaran mereka bagi memastikan gejala tidak bermoral dan aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras.

“Orang ramai juga dinasihati supaya dapat menilai dengan bijak dan seterusnya dapat sama-sama menyumbang kepada tindakan memutuskan rantaian kesalahan ini,” tegas beliau lagi.- MalaysiaGazette