Ramesh Rao.
Ramesh Rao.

KUALA LUMPUR – Semua ahli dan penyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya perlu mencontohi kesetiaan seperti yang ditunjukkan penyokong Pakatan Harapan (PH) terhadap pemimpin mereka yang tidak berbelah bahagi.

Pengarah Strategik Parti Alternatif Rakyat (PAP) Ramesh Rao berkata, pemimpin PH ramai yang terlibat dengan jenayah, kes mahkamah, dipenjarakan dan ada bukti melakukan jenayah tetapi para penyokong mereka tidak pernah mendesak untuk menjatuhkan mereka atau menyingkirkan mereka.

Menurut beliau, dua pemimpin tertinggi PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng kedua-dua ada kes mahkamah yang besar tapi penyokong mereka tetap setia di belakang mereka.

“Mereka sudah ada bukti yang jelas seperti Guan Eng ada bukti salah guna kuasa membeli banglo dengan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran manakalan Anwar ada bukti sudah melakukan perbuatan liwat, disabitkan kesalahan dan menjalani hukuman penjara tetapi ahli parti mereka tidak pernah mahu menyingkirkan mereka.

“Saya hairan kenapa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang belum ada bukti jelas dan nyata dalam kesnya melibatkan syarikat SRC International Sdn Bhd, tetapi ada pemimpin dan ahli yang mahu beliau disingkirkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ramesh, pemimpin dan ahli yang berkata demikian ketika Najib menjadi Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, adalah mereka yang menyokong dan menyatakan kesediaan akan bersama beliau walau apa pun terjadi tetapi bila sudah tidak ada kuasa berubah arah.

Beliau berkata, sebagai contoh, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang lebih dari 50 tahun gagal membawa parti DAP menang pilihan raya dan membentuk kerajaan tidak pernah disingkirkan dari parti malahan beliau sendiri masih gagal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas.

Ramesh mengakui ada sesuatu yang mencurigakan apabila pemimpin yang pernah bersama dengan Najib dalam kabinet sebagai menteri tapi ketika ini bersungguh-sungguh mahu Najib sampai disingkirkan dari UMNO.

“Para ahli UMNO dan BN perlu terus bersama-sama Najib memberikan sokongan kepada beliau dalam beliau berdepan pendakwaan politik kerajaan PH di mahkamah yang penuh kelemahan dan pendakwaan yang bermotifkan dendam.

“Jangan jadi sesumpah yang berubah warna umpama pemimpin yang berpaling tadah dan menentang Najib hanya kerana beliau sudah tidak ada kuasa dan tidak lagi menjadi Perdana Menteri,” kata Ramesh.

Beliau berkata, kekalahan BN dan UMNO dalam PRU-14 adalah sedikit sebanyak disebabkan oleh perkara ini iaitu kelemahan sokongan padu para ahli dan penyokong yang setia kepada parti.

“Parti MCA dan MIC sebagai contoh, apabila calon mereka kalah dalam PRU mereka salahkan Najib dan BN padahal kegagalan itu adalah daripada diri mereka sendiri yang gagal menggerakkan ahli untuk mengundi BN.

“Ini adalah satu tindakan yang hanya akan terus melemahkan BN dan ditakuti akan terus membuatkan UMNO lenyap,” kata Ramesh.- MalaysiaGazette