Datuk Armand Azha Abu Hanifah
Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari dan ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin didakwa terlibat dengan gerakan meluluskan semula hak pemilihan tanah untuk kampung baru di Perak.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Maljis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah sambil menyifatkan kedua-dua tokoh politik itu kini menjadi ‘kuda tunggangan’ DAP sedangkan hak milik tanah kampung-kampung Melayu masih di bawah 99 tahun.

“Ada gerakan kepimpinan DAP untuk mendesak Menteri Besar Perak untuk meluluskan semula hak pemilikan tanah 999 tahun kepada semua kampung baru di Perak.

“Saya dimaklumkan Menteri Besar Perak didesak oleh dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) berada di bawah tekanan amat dahsyat sejak mengangkat sumpah menerima amanah cukup besar sebagai Menteri Besar Perak.

“Mungkin ramai tidak sedar, ada di antara kampung-kampung Melayu sekarang yang dapat hak milikan 40 tahun, 60 tahun dan bukannya 99 tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Subang itu mendakwa, desakan DAP itu perlu disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memandangkan mereka bimbang Kerajaan PH tidak dapat memenuhi janji manifesto PRU14 lepas.

“DAP akan terus menekan Menteri Besar Perak dan desak sehingga tunduk. Dalam keadaan ini, saya merasakan Menteri Besar Perak amat perlukan sokongan daripada kepimpinan UMNO untuk bersuara menentang agenda ini,” katanya.

Katanya, beliau membantah sekeras-kerasnya desakan DAP dalam isu pemilikan tanah 999 tahun itu dan ia bukan sahaja diperjuangkan UMNO bahkan semua orang Melayu Islam di Perak.

“Isu ini adalah isu orang Melayu dan saya rasakan Menteri Besar Perak perlukan sokongan orang Melayu tanpa mengira dari parti politik mana sekali pun.

“Ayuh kita pertahankan isu ini bersama, ini bukan isu perkauman mahupun kebencian tetapi ini isu kepentingan masyarakat Melayu di Perak.

“Saya yakin jika ianya diluluskan bukan hanya di Perak tetapi ianya akan bertiup di seluruh negara terutama negeri-negeri di dalam genggaman DAP,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast