Nuridah Salleh
Nuridah Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia menyokong keberanian Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi dalam menyampaikan kebenaran berhubung sikap berlembut kerajaan terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, walaupun pegawai perubatan bertauliah itu mendapat sokongan, tetapi pada masa sama terdapat pihak yang melihat suaranya itu sebagai ancaman dan diberi tekanan termasuk mencabar profesionalismnya.

“Umum turut mengetahui betapa kebejatan masalah sosial masa kini yang menular semakin membimbangkan dan seharusnya segenap usaha perlu digembeleng untuk mencari solusi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu surat terbuka Dr Nur Ilyani kepada anak Perdana Menteri, Datin Paduka Marina Tun Mahathir berhubung LGBT, dan doktor yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu itu bakal berdepan dengan tindakan tatatertib Kementerian Kesihatan.

Menurut Nuridah, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Malaysian Aids Council pada 2016, sebanyak 46 peratus kes baru HIV disebabkan kegiatan homo bisexual, manakala data dari HIV and AIDS Data Hub for Asia-Pasific pula menunjukkan kegiatan LGBT menjadi penyebab utama risiko jangkitan HIV di Malaysia.

Terkini, katanya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkenaan isu itu juga mengelirukan serta seolah-olah menunjukkan pengiktirafan terhadap kumpulan LGBT.

“Dalam hal ini, Dewan Muslimat Pas Malaysia menyatakan kebersamaan dalam solidariti untuk Dr Nur Ilyani.

“Sesungguhnya seluruh Muslimat Pas Malaysia bersama-sama sepenuh hati turut membawa suara yang memperjuangkan keamanan serta keharmonian sahsiah dan rohani demi menuju Malaysia Sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast