KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) disaran menyediakan pelan tindakan pembangunan filem nasional yang memberi tumpuan terhadap peningkatan upaya teknologi sinema.

Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta) Dr Mahadi J Murat berkata perkara itu penting untuk para karyawan dan tenaga teknikal bidang perfileman dan kandungan kreatif tempatan selaras dengan perubahan industri yang kompetitif dalam memenuhi jangkaan masyarakat terhadap industri itu.

“Antara yang boleh dilakukan Finas pada masa ini ialah dengan memaksimumkan penggunaan “Studio Sound Stage” dan “Studio Bunyi Dolby, Digital Mix Stage” di Kompleks Studio Merdeka Finas di Hulu Klang yang mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung kecekapan keperluan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengambil contoh kejayaan filem “Pulang”, sebuah filem yang baik dan bermutu yang menggunakan teknologi digital imej janaan komputer (CGI) dan menjadikan filem berlatar tempatan dan berciri universal itu sebuah filem cerdik yang membanggakan, sejajar dengan idealisme baharu industri perfileman moden di Malaysia.

Katanya Finas wajar memberi keutamaan dan bantuan berterusan yang melibatkan teknologi sinema baharu kepada pengeluar filem yang konsisten mempunyai kapasiti, struktur pengurusan serta model bisnes yang jelas selain satu bentuk skim latihan disediakan dalam pakej berkenaan.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast