KUALA LUMPUR – Tindakan pemandu bas Rapid KL merempuh kereta yang meneybabkan kereta terbabit melanggar gerai burger di AU2, Keramat mencemaskan orang ramai yang berada di kawasan tersebut.
Kejadian difahamkan berlaku kira-kira jam 9 malam tadi.
Video Klip yang merakam insiden itu viral dalam media sosial, Facebook selepas dikongsi Azri Arip.
Pemandu bas itu memandu dengan laju kenderaan tersebut dengan memasang lampu kecemasan apabila dikejar beberapa pemuda dengan menggunakan motosikal.
Mereka menjerit meminta pemandu itu menghentikan bas tersebut.
Bagaimanapun usaha mereka gagal apabila pemandu secara melulu membawa bas itu dari AU2, Keramat sehingga ke Ampang di simpang memasuki Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2)
Menurut Azri, hampir 20 buah kereta dirempuh bas itu sebelum ia berhenti.
Pemandu bas itu cuba melarikan diri selepas memberhentikan basnya di bawah jejambat bagi mengelakkan ditangkap mereka yang mengejarnya.
Menurut Azri, bas itu melanggar sebuah kereta yang kemudiannya merempuh warung burger miliknya.
Azri mendakwa ibunya yang mendukung bayi berusia dua bulan jatuh ekoran perlanggaran itu sebelum dia mengejar dan cuba menghalang pemandu bas terbabit yang bertindak liar.
Dalam rakaman video itu pemandu bas terbabit kelihatan tercedera disyaki dibelasah orang awam.
Mereka yang berada di sekelilingnya terus memaki hamun pemandu itu manakala salah seorang daripada mereka meleraikan keadaan dengan memionta pemandu itu tidak dicederakan lagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette