KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan pemansuhan Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar 2018 selepas hampir enam jam akta itu dibahaskan oleh 12 ahli Parlimen.
Perbahasan Akta 803 yang bermula jam 12 tengahari itu bagaimanapun berakhir jam 5.08 petang tadi selepas mendapat suara majoriti daripada ahli Parlimen Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 yang dikuatkuasakan pada 11 April 2018 bagaimanapun dimansuhkan hari ini selepas bacaan kali kedua yang dibawa oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.
Terdahulu Ram Karpal (Bukit Gelugor-PH) memulakan sesi perbahasan Akta 803 itu kira-kira jam 12.08 tengahari disusuli Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang-BN) dan beberapa wakil rakyat lain sebelum Dewan Rakyat berhenti rehat jam 1 tengah hari.
Sesi perbahasan yang bersambung jam 2.30 petang bagaimanapun bertukar menjadi kecoh selepas Datuk Dr Nik Zawawi Salleh (Pasir Puteh-Pas) didakwa mengeluarkan ucapan seksis kepada Ahli Parlimen Merbok, Nur Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah. – MalaysiaGazette