PUTRAJAYA – Tahap kebersihan di lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2026 berada pada tahap terbaik hasil peningkatan kesedaran dan kerjasama orang ramai.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan Ops Bangkit yang dipergiat melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan kebersihan di lokasi tumpuan awam.
Menurutnya, hanya sebanyak 191 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan terhadap individu yang dikesan membuang sampah kecil di tempat awam sepanjang operasi berkenaan.
Operasi selama lapan hari dari 24 hingga 31 Ogos itu membabitkan 234 anggota penguat kuasa SWCorp di 56 lokasi di tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Pemantauan turut dipertingkat pada malam 30 Ogos bersempena Sambutan Ambang Hari Kebangsaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penguatkuasaan yang dijalankan bukan semata-mata bertujuan menghukum, sebaliknya untuk mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
“Penguatkuasaan ini bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi untuk mendidik dan membentuk sikap masyarakat agar lebih bertanggungjawab.
“Kebersihan negara bermula daripada disiplin setiap individu. Jangan jadikan membuang sampah sesuka hati sebagai satu kebiasaan kerana menjaga kebersihan ruang awam adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
KPKT menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap perbuatan membuang sampah sesuka hati dan akan meneruskan tindakan penguatkuasaan secara tegas, konsisten serta berterusan.
Menurut kementerian itu, pengeluaran NPK di bawah Seksyen 77A Akta 672 bukan sekadar peringatan, sebaliknya menjadi permulaan kepada proses tindakan undang-undang terhadap individu yang melakukan kesalahan berkenaan.
Setiap kes akan disiasat SWCorp sebelum kertas siasatan lengkap dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan izin pendakwaan.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 12 jam di bawah Seksyen 77B Akta 672.
Katanya, pelaksanaan PKM turut berperanan sebagai pendekatan korektif dan mendidik bagi memberi kesedaran kepada pesalah mengenai kesan perbuatan mereka terhadap kebersihan persekitaran serta mencegah pengulangan kesalahan.
Dalam pada itu, pemantauan sepanjang Sambutan Ambang Hari Kebangsaan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2026 mendapati tahap kebersihan di lokasi sambutan berada pada tahap baik.
Malah, tahap kebersihan di Putrajaya turut mendapat pengiktirafan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), yang menurut KPKT menunjukkan keberkesanan pendekatan bersepadu membabitkan pemantauan, penguatkuasaan, hebahan kesedaran dan kerjasama pelbagai pihak.
KPKT merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan sepanjang sambutan kemerdekaan.
Kementerian itu berkata, usaha melalui SWCorp akan terus diperkukuh menerusi penguatkuasaan serta program pendidikan dan kesedaran bagi meningkatkan disiplin masyarakat dan membudayakan amalan menjaga kebersihan.
“Semangat kemerdekaan bukan sahaja dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang, tetapi turut diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab, berdisiplin dan menghargai kebersihan ruang awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















