BNM

KUALA LUMPUR- Pengeksport diberi kebenaran memasukkan hasil eksport mereka secara automatik ke dalam Akaun Semasa Perdagangan Asing dengan bank tempatan bagi memenuhi obligasi mata wang asing sehingga enam bulan tanpa perlu menukar dahulu hasil eksport berkenaan ke dalam ringgit berkuat kuasa serta merta.

Fleksibiliti itu diberikan apabila pengeksport menyempurnakan obligasi mata wang asing enam bulan mereka dengan bank tempatan masing-masing, antara peningkatan terhadap dasar Pentadbiran Pertukaran Asing diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

“Ia bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan risiko oleh sektor perniagaan dan institusi kewangan,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi perlindungan nilai yang fleksibel untuk obligasi mata wang asing, BNM menyebut, fleksibiliti yang lebih besar diberi kepada pemastautin yang membuat permohonan kepada Bank untuk melindungi nilai – obligasi mata wang asing melebihi enam bulan; dan dedahan terhadap mata wang asing daripada invois yang dikeluarkan dalam mata wang asing, di bawah amalan penetapan harga antarabangsa bagi perdagangan barangan dan perkhidmatan dalam negeri.

Syarikat bukan pemastautin dibenarkan untuk memperdagangkan derivatif kadar faedah berdenominasi ringgit melalui Pejabat Luar Negara yang Dilantik, tertakluk kepada pengaturan back-to-back (nilai yang setara dalam dua mata wang) dengan bank tempatan.

“Hal ini bertujuan mendalamkan pasaran derivatif kadar faedah dalam negeri bagi menyokong pengurusan risiko oleh sektor perniagaan,” kata BNM. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast