TOKYO- Harga minyak susut hari ini berikutan peningkatan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global yang semakin perlahan dan menjejaskan permintaan terhadap produk petroleum.
Minyak mentah Amerika Syarikat mengalami aliran kejatuhan mingguan ketujuh hari ini manakala niaga hadapan minyak mentah Brent turun lima sen kepada AS$71.38 setong. Niaga hadapan mentah West Texas Intermediate (WTI) jatuh empat sen kepada AS$65.42 setong.
Brent sedang berada dalam aliran penurunan sebanyak dua peratus minggu ini, kemerosotan untuk minggu ketiga berturut-turut.
WTI pula berada di landasan untuk kerugian minggu ketujuh, dengan kemerosotan lebih daripada tiga peratus.
Data semalam menunjukkan penambahan besar dalam inventori AS mencetuskan kebimbangan mengenai prospek permintaan bahan api, manakala minyak mentah juga ditekan oleh penjualan komoditi perindustrian yang lebih meluas dan oleh krisis kewangan Turki.
China dan AS telah melaksanakan beberapa pusingan tarif perdagangan dan mengancam akan mengenakan duti eksport bernilai ratusan bilion dolar, yang akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.
Pada masa yang sama, krisis yang mencengkam lira Turki telah membimbangkan pasaran baru muncul dan memberi kesan kepada ekuiti, bon dan bahan mentah. – MalaysiaGazette