Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata hasil pemeriksaan, pemandu berkenaan didapati positif dadah jenis metamfetamin.
Datuk Seri Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Pemandu bas henti-henti milik RapidKL yang merempuh tujuh kenderaan di Ampang dekat sini, malam tadi didapati memandu di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata hasil pemeriksaan, pemandu berkenaan didapati positif dadah jenis metamfetamin.

“Ketika kejadian lelaki berkenaan memandu di bawah pengaruh dadah… kes ini turut disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di bawah Kontinjen Selangor.

“Kita juga akan menyemak sama ada pemandu bas berusia 32 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau melibatkan dadah,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Operasi Khas Rondaan Cegah Jenayah Pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Mazlan berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, sebanyak tujuh kenderaan rosak teruk selepas dirempuh sebuah bas berhenti-henti dipandu seorang lelaki yang disyaki cuba melarikan diri daripada satu kemalangan di hadapan Bangunan Risda di Jalan Ampang di sini.

Satu klip video berdurasi 1 minit 37 saat yang memaparkan kejadian berkenaan turut tular dalam media sosial.

–BERNAMA