Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2018.
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan tidak akan bertindak kasar kepada pengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, barisan Kabinet PH juga bersedia untuk ditegur dalam memastikan pentabdiran negara berjalan lancar.

“Sebagai manusia biasa, kami tidak dapat elak dari melakukan kesalahan. Kami rela ditegur dan kami tidak akan bertindak kasar terhadap mereka yang menegur,” katanya dalam mengakhir Perutusan Khas Perdana Menteri sempena 100 hari Kerajaan Pakatan Harapan malam tadi.

Malah Mahathir berkata, biar pun barisan kepimpinan kerajaan PH tidak mempunyai pengalaman dalam mentadbir negara namun berjaya menunaikan janji dan memperlihatkan kepupayaan mentadbir.

“Semua yang telah saya nyatakan bukanlah untuk mempertahankan kerajaan baharu ini tetapi menjurus kepada berkongsi dengan rakyat apakah yang telah kami usahakan sejak 9 Mei tahun ini.

“Walaupun ramai pemimpin kerajaan hari ini tidak mempunyai pengalaman mentadbir tetapi dalam tempoh 100 hari mereka telah berjaya menunai janji dan memperlihatkan keupayaan mentadbir,” katanya lagi.

Dalam pada itu, segala janji dan perubahan kuasa yang direncanakan bagi memastikan rasuah dan salah guna kuasa dapat dibendung pada masa akan datang, katanya.

“Kerajaan percaya di masa akan datang, tidak kira parti mana yang memerintah, siapa yang menjadi perdana menteri dan menteri, pengukuhan institusi-institusi akan memastikan rasuah, salahguna kuasa dan pencurian wang dan harta awam tidak akan berlaku dan jika ianya berlaku mereka tidak akan terlepas tindakan undang-undang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette