Calon MCA N.27 Balakong, Tan Chee Teong diiringi Naib Presiden MCA, Chee Mei Fun (dua kiri) bergambar bersama manifesto pada Majlis Pelancaran Manifesto Calon MCA di Bilik Operasi MCA Balakong Cheras, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 OGOS 2018

SERI KEMBANGAN – Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak menolak penglibatan UMNO dalam kempen selama 21 hari di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Beliau menafikan dakwaan UMNO memboikot kempen PRK Balakong yang ditandingi MCA.

“Ada wakil UMNO yang turun. Kita tidak tolak UMNO, kita harapkan semua parti termasuk ahli PH yang tidak puas hati dengan janji kerajaan sekali.

“Kalau kita nak tubuhkan satu senario politik yang sihat, kita kena teruskan prinsip dua parti dan rakyat ada peranan dan tanggungjawab bagi memastikan kerajaan memainkan peranan dan tepati janji mereka.

“Jangan cakap sahaja, tidak dapat penuhi janji disebabkan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran manifesto calon MCA, Tan Chee Teong di Bilik Gerakan parti itu hari ini.

MGF19082018_PELANCARAN MANIFESTO CALON MCA_07
Naib Presiden MCA, Chee Mei Fun bercakap kepada media selepas selesai Majlis Pelancaran Manifesto Calon MCA di Bilik Operasi MCA Balakong Cheras, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 OGOS 2018

Mei Fun berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai ketiadaan pemimpin atasan UMNO pada hari penamaan calon yang diadakan di Bandar Baru Bangi semalam.

Pada hari penamaan calon PRK Balakong semalam, kelihatan hanya ahli jawatankuasa bahagian UMNO yang hadir tanpa kepimpinan tertinggi UMNO.

Dalam pada itu, Mei Fun juga turut diasak untuk menamakan pemimpin UMNO yang turun pada hari penamaan semalam, namun beliau gagal untuk berbuat demikian.

“Terlalu ramai, saya tidak boleh jelaskan tetapi ramai kawan-kawan lama dan kawan-kawan baru turun.

“Saya tidak pasti. Mereka tidak boikot, semalam pun ada yang turun. Bukan sahaja mereka tapi ahli parti juga turun kerana MCA adalah parti untuk semua, kita tidak berjuang untuk satu kaum sahaja,” katanya.

MCA menjadi wakil dalam BN bagi memenangi kerusi ini selepas kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

MCA telah mencalonkan Ahli Jawatankuasa MCA Bahagian Serdang, Tan Chee Teong bagi menentang calon PH iaitu Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang, Wong Siew Ki. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast