Hamiley Abu Bakar
Hamiley Abu Bakar

KELANA JAYA – Infrastruktur tadika di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia masih ketinggalan, kata calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar.

Hasil tinjauannya mendapati terdapat beberapa tadika di kawasan tersebut yang memerlukan di naik taraf agar dapat menjadi pemangkin kecemerlangan anak-anak.

“Berdasarkan pemerhatian saya sehingga kini masih banyak infrastruktur yang perlu ditambahbaik terutama melibatkan beberapa tadika yang ada di kawasan DUN Seri Setia ini. Terdapat tadika yang pada pendapat saya masih ketinggalan infrastrukturnya dan perlu dinaiktaraf dengan kadar segera,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan.

Tambah Halimey, fokus beliau selain mahu menyelesaikan masalah setempat adalah isu pendidikan yang diakuinya menjadi penyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Infrastruktur ini perlu diperkemas dan diperkasakan dari semasa ke semasa sejak tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah sehinggalah mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

“Di dalam DUN Seri Setia ini sahaja banyak Tadika dan Taska Pra Sekolah, Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil dan Cina), Sekolah KAFA (Kelas Asas Fardhu Ain)dan lain-lain,” ujar Halimey.

DUN Seri Setia sebelum ini disandang oleh wkail rakyat daripada PKR Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Beliau meninggal kerana kanser usus.

Sebelum allayarham, Seri Setia dipegang oleh Nik Nazmi Nik Ahmad juga wakil rakyat dari PKR selama dua penggal sejak tahun 2008. – MalaysiaGazette