ENGLAND – Penyokong tegar Manchester United di Manchester melancarkan kempen Ed Woodward Out selepas kecewa dengan naib eksekutif kelab itu.
Woodward dianggap punca di sebalik segala masalah dan krisis dalam yang melanda kelab ketika ini di Old Trafford.
Malah laporan terbaharu di Old Trafford mendakwa penyokong tegar Manchester United sudah merancang untuk menerbangkan poster protes menggunakan pesawat udara.
Malah pemain pemain utama kelab itu juga berpendapat pengurus kelab itu, Jose Mourinho juga mungkin disingkirkan demi menyelamatkan kelab itu.
Mereka dikatakan hilang sabar setelah menyaksikan peranan Woodward dalam merekrut pemain baharu ke kelab itu pada jendela perpindaan yang menutup tirai 9 Ogos lalu.
Manchester United hanya mampu merekrut Fred dari Brazil dan juga Delot dari FC Porto berbanding pesaing terdekatnya yang berjaya memperkuatkan skuad masing-masing untuk merebut gelaran EPL musim ini khususnya musuh tradisinya Liverpool.
Manakala keadaan Mourinho dikatakan bertambah teruk apabila beberapa bintang utama pasukan itu percaya bos itu mungkin meninggalkan kelab tidak lama lagi.
Poster yang menyasarkan Woodward dan pemilik Kelab Glazers dijangka diterbangkan di ruang udara Turf Moor semasa Manchester United bertemu Burnley pada Ahad depan.
Ia akan tertera tulisan ED OUT – Love United Hate Glazer.
Woodward sebelum itu membenarkan Mourinho membelanjakan dana besar berjumlah 302 juta pound sejak menggantikan Louis van Gaal pada Mei 2016.
Tetapi Woodward terus dikritik kerana gagal melabur dalam merekrut pemain bek pertahanan dan sayap yang sangat diperlukan Mourinho musim ini.
Keadaan sama mengeruhkan lagi hubungan Mourinho dengan pemain pasukannya sehingga membawa kepada kekalahan di tangan Brighton di Stadium Komuniti American Express Ahad lalu.- MalaysiaGazette