Wong Siew Ki
Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki. foto MIRZA HASIM, 24 OGOS 2018

BANGI – Sebanyak 40 peratus program mendekati pengundi dan rakyat telah dilaksanakan bersempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Balakong setakat ini, kata Wong Siew Ki.

Calon Pakatan Harapan berusia 32 tahun itu berkata, tempoh berkempen yang memasuki hari ketujuh pada hari ini menyaksikan setiap lapisan penduduk hampir di setiap rumah dan jalan didekati dan disantuni tanpa mengira waktu.

Katanya dia mendekati pengundi menerusi program sepanjang masa yang disusun majoriti kawasan Balakong.

“Sudah seminggu saya berkempen dan 40 peratus pengundi didekati memandangkan tempoh berkempen masih banyak  berbaki 14 hari lagi.

“Setakat ini sokongan sangat luar biasa dan mereka begitu berkeyakinan mengetengahkan setiap isu dan masalah yang perlu diberi perhatian selepas 8 September ini.

“Setakat ini saya sudah mengendalikan dua ceramah dan ada tiga lagi program seumpama bersama penduduk berbilang bangsa selain makan malam kumpul dana dan mengedarkan jalur gemilang menjelang Hari Kebangsaan 31 Ogos ini,’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Siew Ki hari ini meninjau Off Jalan Balakong di Kampung Baru Batu 11 Cheras yang dihantui kesesakan lalu lintas setiap hari sejak bertahun lama yang merupakan sebahagian program berkempen.

Ujarnya dia komited untuk melaksanakan projek infrastruktur itu hasil cetusan idea oleh mendiang ADUN Balakong Eddie Ng Tien Chee yang maut dalam kemalangan ngeri 20 Julai lalu.

Siew Ki juga berjanji akan terus bekerja keras memperjuangkan permasalahan rakyat di kawasan itu selepas 8 September nanti dan dia tidak ada ‘berbulan madu’ untuknya.

“Saya perlu memastikan isu dan permasalahan rakyat ditangani dan sehingga itu saya tidak akan berehat dan berbulan madu, saya bertanding untuk berkhidmat dan bekerja untuk rakyat, bukan untuk syok sendiri atau populariti politik,” ujarnya.- MalaysiaGazette