Gambar hiasan

WASHINGTON – Amerika Syarikat dan China mengakhiri perbincangan berhubung pertikaian perdagangan selama dua hari pada hari Khamis tanpa sebarang kejayaan besar.

Rundingan itu diadakan selepas kedua-dua negara mengaktifkan pusingan tarif melibatkan barangan bernilai AS$16 bilion.

“Kami menyimpulkan dua hari perbincangan dengan rakan-rakan dari China dan bertukar pendapat mengenai cara mencapai keadilan, keseimbangan, dan timbal balik dalam hubungan ekonomi,” kata jurucakap White House, Lindsay Walters dalam satu kenyataan yang diemail.

Perbincangan termasuk “menangani isu-isu struktur di China,” termasuk dasar pemindahan harta intelek dan teknologi, kata Walters.

Pegawai pentadbiran Trump peringkat pertengahan yang mengambil bahagian dalam perbincangan itu akan memberi taklimat kepada ketua agensi mereka mengenai perbincangan itu, tambahnya.

Pelaksanaan tarif 25 peratus terbaharu pada Khamis tidak menggagalkan rundingan yang diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, David Malpass dan Naib Menteri Perdagangan China, Wang Shouwen.

Ia merupakan pertemuan pertama kali wakil Amerika Syarikat-China sejak bulan Jun untuk mencari jalan keluar konflik perdagangan yang semakin mendalam ekoran kenaikan tarif.

Terdahulu, seorang pegawai pentadbiran kanan Donald Trump kanan telah memberi isyarat tentang peluang yang rendah untuk berjaya dalam rundingan itu dengan mengatakan China belum lagi menangani aduan negaranya tentang dakwaan penyelewengan harta intelek dan subsidi perindustrian.

Dalam satu kenyataan ringkas pada hari Jumaat, kementerian perdagangan China berkata, kedua-dua pihak mempunyai pandangan “membina” dan “jelas” berhubung isu perdagangan dan akan terus berhubung dengan langkah seterusnya.

Tarif terbaharu oleh Washington membabitkan 279 kategori produk, termasuk semikonduktor, plastik, bahan kimia dan peralatan keretapi, yang didakwa oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat telah mendapat manfaat daripada pelan perindustrian “Made in China 2025” untuk menjadikan China berdaya saing dalam industri berteknologi tinggi.

China pula menyenaraikan 333 kategori produk Amerika Syarikaat termasuk arang batu, sekerap tembaga, bahan bakar, produk keluli, bas dan peralatan perubatan. – MalaysiaGazette