Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan dengan para pelabur mengumpul saham kaunter berkaitan indek terpilih dalam keadaan sentimen berhati-hati yang dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan luaran, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, jangkaan pemulihan pendapatan disokong oleh musim pendapatan suku kedua 2018 yang memberangsangkan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Sementara itu, saham berorientasikan eksport akan menjadi pilihan susulan ringgit yang lemah berbanding dolar AS ketika ini apabila para peniaga menjangkakan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan dinaikkan sekali lagi pada September,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, kecenderungan meningkat dalam saham permodalan kecil dan sederhana juga dijangka berterusan minggu depan.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia diniagakan rendah antara paras 1,798.84 dan 1,808.59, seiring dengan prestasi lemah di Wall Street, berikutan kebimbangan terhadap peningkatan perang perdagangan AS dan China serta aktiviti pengambilan untung.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 25.12 mata kepada 1,808.59 daripada 1,783.47 sebelumnya.

Indeks FBM Emas meningkat 121.92 mata kepada 12,741.49 dan Indeks FBMT100 naik 139.77 mata kepada 12,528.81.

FBM 70 menokok 41.92 mata kepada 15,425.37 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 100.75 mata kepada 12,881.79, tetapi FBM Ace susut 117.30 mata kepada 5,435.10.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 295.94 mata kepada 17,684.73, Indeks Perladangan naik 18.16 mata kepada 7,645.35 dan Indeks Perusahaan menokok 6.36 mata kepada 3,239.26.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 9.65 bilion unit bernilai RM9.15 bilion daripada 10.89 bilion unit bernilai RM10.67 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 6.64 bilion saham bernilai RM8.32 bilion berbanding 7.19 bilion saham bernilai RM9.68 bilion.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 1.69 bilion unit bernilai RM444.85 juta berbanding 2.88 bilion unit bernilai RM524.88 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.31 bilion saham bernilai RM379.24 juta berbanding 1.74 bilion saham bernilai RM464.16 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast