Wong Siew Ki
Calon Pakatan Harapan Balakong, Wong Siew Ki menunjukkan laporan polis atas fitnah calon MCA mengatakan PH melalukan vandalisme ke atas bunting MCA di Ibu Pejabat Daerah Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 OGOS 2018

KAJANG – Calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki menyahut cabaran Tan Chee Teong apabila membuat laporan polis berhubung dakwaan pesaingnya itu yang menuduh partinya sengaja menurunkan bahan kempen milik parti lawan.

Siew Ki yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ditemani dua penyokongnya membuat laporan kira-kira pukul 2 petang tadi.

Ketika ditemui media selepas membuat laporan tersebut Siew Ki beliau berkata, tindakan itu diambil selepas Chee Teong membuat tuduhan itu pada sidang medianya yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook pada Jumaat lepas.

“Saya ingin membuat laporan polis berkenaan calon PRK Balakong MCA, Tan Chee Teong yang telah membuat sidang media dan siaran langsung Facebook pada 25 Ogos 2018 sekitar jam 1.46 petang di Kampung Baru Kwan Tung Sungai Chua Kajang.

“Beliau mengatakan calon Pakatan Harapan telah mencabut bahan kempen mereka. Tajuk video telah dipadamkan tidak lama selepas itu.

“Kenyataan beliau mempunyai unsur fitnah dan saya meminta pihak polis untuk melakukan siasatan terhadap perkara ini,” katanya menerusi laporan yang dibuat.

Siew Ki berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan guaman diambil.

Tegasnya, perkara sama mungkin akan turut dibawa kepada pihak jawatankuasa Bersih untuk dilakukan langkah seterusnya.

Pada Jumaat lepas, Chee Teong menerusi sidang media mendedahkan poster dan kain rentang kempennya dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tanpa menyebut nama mana-mana parti yang boleh dikaitkan dengan perkara itu, Chee Teong berkata, insiden yang berlaku telah menjejaskan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Tuduhan Chee Teong itu kemudian dijawab oleh Siew Ki yang menyelar dengan mengatakan bahawa ia satu tuduhan tidak berasas sambil menegaskan PH tidak pernah melakukan tindakan tidak bermoral.

Malah Siew Ki berkata, Chee Teong tidak menunjukkan sebarang bukti terhadap tuduhan yang dibuatnya.

Pengarah PRK Balakong PH, Ean Yong Hian Wah menegaskan pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, pada sidang media pagi tadi, Chee Teong berkata, beliau tidak kisah sekiranya PH hendak membuat laporan berhubung kenyataannya itu.

Katanya, beliau turut bersedia untuk membuat laporan sama bagi membuktikan dakwaannya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast