Mohd Anuar Mohd Tahir
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir (kanan) bersama Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki (dua kiri) beramah mesra bersama sebahagian penduduk setempat ketika sesi 'walkabout; sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 47 Balakong di sekitar kawasan Jalan Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 28 OGOS 2018

BANGI – Parti Amanah Negara (Amanah) mengucapkan selamat jalan, atau Bon Voyage’ dalam bahasa Perancis, kepada MCA dalam menempuhi perjalanan politik yang lebih sukar.

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, MCA kini tidak lagi berperanan sebagai parti satu bumbung dengan BN dalam memperjuangkan rakyat.

Sebaliknya kata beliau, lawannya itu agak unik kerana keluar berkempen atas lambang parti sendiri dan bukannya lambang bersama (Barisan Nasional) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Balakong.

“Wong Siew Ki (calon PH) kita ini bertuah kerana calon pertama bertanding atas lambang bersama iaitu Pakatan Harapan, saya antara terlibat penubuhan PH pun belum berpeluang bertanding atas bendera PH.

“Ini jelas menunjukkan kita sedang menuju ke arah pembaharuan bahawa penyatuan bukan untuk disitegrate memecahbelahkan.

“Sokongan dalam PRK ini kepada calon muda berdinamik dan progresif seperti Siew Ki penting untuk kita teruskan segala agenda rakyat yang dirangka mendiang ADUN Eddie NG Tian Chee sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas kempen walkabout bersama calon PH di Bandar Tun Hussein Onn pagi tadi.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu juga menasihati 62,219 pengundi di Balakong tidak terpedaya dengan kempen semak dan imbang yang digempar-gemburkan calon MCA, Tan Chee Teong sejak hari penamaan calon pada 18 Ogos lalu.

Tegas Mohd Anuar ragu-ragu dengan semak imbang yang dijanjikan MCA kali ini sambil mempersoalkan apa sebenarnya dilakukan parti itu ketika BN memerintah negara selama 60 tahun lalu.

Katanya, walaupun baru tiga bulan mengambil pentadbiran negara, beliau dan pemimpin lain PH sedang bekerja tujuh hari seminggu tanpa rehat demi menguotakan janji kepada rakyat.

Ujar beliau, penyakit yang mereka tinggalkan selama 60 tahun sudah hendak diubati dan terpaksa mengambil masa membedah dan merawatnya maka tidak semua dapat dipulihkan dalam masa tiga bulan.

Namun beliau berharap rakyat percaya bahawa ia adalah proses berterusan dan rakyat akan mendapat ruang baharu.

“Janganlah terpengaruh dengan semak imbang yang disebarkan MCA dalam kempen PRK kali ini kerana kita sudah beri peluang 60 tahun, lepas kalah baru nak cakap pasal semak dan imbang.

“Bukannya saya kata semak imbang tidak diperlukan tetapi mengundi parti yang sudah berpecah (BN) untuk menggantikan kami di Balakong yang diberi kepercayaan besar dalam PRU lepas..jangan mengambil risiko wahai pengundi.

“Inilajh takdir dan tiada siapa pun boleh mengelak takdir, BN ingat boleh bertahan 100 tahun tapi takdir menentukan sebaliknya menerusi revolusi besar rakyat. Jadi kita nak beri isyarat benar untuk kekalkan suara rakyat di Balakong,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan, kalau wujud percubaan semak dan imbang dengan menggantikan PH dengan MCA, pihaknya mewakili suara rakyat di bawah satu ideologi Harapan.

“Kita bertanding dengan semangat Harapan lambang bersama tanpa mengira DAP, PKR, PPBM atau Amanah, tapi MCA bertanding atas satu parti iaitu Persatuan Cina Semalaya.

“Dari situ rakyat boleh menilai kami yang ikhlas dalam memajukan Selangor dalam semua aspek selain fizikal maka jangan memberi isyarat salah sebaliknya beri kepercayaan penuh kepada calon PH,” tegas beliau – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast