Calon PAS N.32 Dun Seri Setia, Dr. Halimah Ali. foto AFIQ RAZALI, 24 OGOS 2018.
Calon PAS N.32 Dun Seri Setia, Dr. Halimah Ali. foto AFIQ RAZALI, 24 OGOS 2018.

SHAH ALAM – Dakyah dan tohmahan dari parti lawan terhadap Pas antara faktor golongan muda kurang berminat menyertai parti itu, kata Ahli Jawatankuasa Pas Malaysia, Dr Halimah Ali.

Beliau yang merupakan calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia berkata, antara tohmahan itu ialah kononnya Pas adalah sebuah parti yang suka menjatuhkan hukum dan memainkan sentimen agama menyebabkan anak muda bawah 40 tahun takut untuk menyertai parti itu.

“Padahal kalau anak muda ini kenal Pas, mereka pasti seronok bersama parti ini. Contohnya, kita ada sayap Dewan Pemuda Pas yang sentiasa menjalankan program mengikut cita rasa golongan belia.

“Untuk golongan belia muslimat contohnya, kita ada aktiviti renang yang diadakan secara tertutup. Untuk belia lelaki pula, Dewan Pemuda ada Kelab Motosikal yang dinamakan Alternative Riding Club (ARC).

“Boleh dikatakan mereka akan seronok bersama Pas kalau mereka tahu dan mengenali parti ini, tetapi disebabkan tohmahan, mereka tidak nampak sebarang kelebihan yang kita sediakan untuk mereka,” katanya dalam sesi wawancara dengan sebuah akhbar di sini, hari ini.

Dr Halimah berkata, dalam kawasan DUN Seri Setia, terdapat kira-kira 33 peratus pengundi kategori belia bawah 40 tahun dan Pas menerusi Dewan Pemudanya turun padang untuk menjelaskan kepada golongan berkenaan bahawa terdapat beberapa entiti yang boleh disertai mereka.

Bahkan, katanya, beliau sendiri sentiasa berdamping dengan orang muda terutama sepanjang kempen PRK DUN itu sejak 18 Ogos lalu dan mengetahui cita rasa dan keperluan mereka.

“Saya memang selalu berdamping dengan org muda. Bahkan, sekarang pun ketika berkempen saya dikelilingi orang-orang muda. Saya tahu cita rasa mereka, keperluan mereka.

“Jika saya menang PRK ini pada 8 September ini, saya akan selalu mendekati mereka dan bertanyakan kepada mereka apa yang mereka mahukan dalam kehidupan seharian.

Mengenai manifestonya untuk rakyat DUN Seri Setia, Dr Halimah yang juga Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Pendidikan Pas Malaysia memberitahu, prinsipnya tidak suka berjanji atau menabur janji.

Tetapi katanya, jika ditakdirkan menang, beliau akan duduk bersama penduduk pelbagai peringkat dalam DUN itu mendapatkan pandangan mereka seperti apa keperluan dan permasalahan untuk membolehkannya menyuarakan pada sidang DUN Selangor.

Katanya, sepanjang hampir dua minggu bersama penduduk di situ, kebanyakan permasalahan dibangkitkan ialah sampah dan keselamatan.

“Sepanjang 10 tahun menjadi wakil rakyat di DUN Selat Klang, beliau merasakan permasalahan dihadapi penduduk di situ lebih teruk, rupanya di DUN Seri Setia lagi teruk.

“Dengan pengalaman di Selat Klang, bagaimana saya dapat atasi dan selesaikan satu persatu permasalahan itu, saya akan cuba lakukan di sini, agar penduduk tidak lagi dibelenggu dengan masalah kotor dan keselamatan,” ujarnya.

Katanya, manifesto beliau untuk rakyat DUN Seri Setia ialah mengangkat rakyat kepada kerajaan negeri, yang mana tanggungjawab ini tidak boleh dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH).

“Mereka mengangkat suara rakyat, tetapi apabila kerajaan negeri tidak layan, mereka pun diam. Lain dengan pembangkang, kita akan bangkit dan tekan habis-habisan sehingga kerajaan negeri dengar dan laksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette.