Mohd Anuar Mohd Tahir
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir (kanan) bersama Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki (dua kiri) beramah mesra bersama sebahagian penduduk setempat ketika sesi 'walkabout; sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 47 Balakong di sekitar kawasan Jalan Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 28 OGOS 2018

BALAKONG – MCA diminta supaya tidak ‘salin dan tumpang’ manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong terutamanya dalam isu menaik taraf kemudahan infrastruktur di sekitar kawasan itu.

Calon PH Wong Siew Ki berkata pelan untuk menaik taraf jalan raya terutamanya pelebaran jambatan di Bandar Tun Hussein Onn telah ada namun belum diumumkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPkj).

“Kami sudah mengambil maklum daripada MPkj bahawa projek menaik taraf jalan dan pelebaran jambatan tersebut sudah ada pelan dan tunggu sahaja masa untuk dilaksanakan oleh MPkj.

“Janganlah sampai ‘salin dan tumpang’ projek-projek yang sudah kami laksanakan dan kemudiannya apabila ia sudah dibuat, mereka menumpang dan mendakwa ia hasil kerja mereka atas usaha semak dan imbang,” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra bersama Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir di Bandar Tun Hussein Onn, hari ini.

Semalam, calon MCA Tan Chee Teong memberi jaminan bahawa pihaknya akan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dengan melebarkan jambatan yang menghubungkan Bandar Tun Hussein Onn dan Mahkota Cheras sekiranya mereka diberi mandat pada 8 Sept ini.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie daripada DAP dalam satu kemalangan jalan raya, 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mendiang Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.- BERNAMA