Foto Instagram Siti Nur Syafiqa.

KUALA LUMPUR – Pemergian bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman akan dihadapi dengan tenang oleh isteri allahyarham kerana beliau telah berjanji untuk bersama walaupun apa terjadi.

Luahan janji Datin Seri Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 28, pernah tulis di laman Instagram ketika pasangan itu bercuti di luar negara baru-baru ketika membuat ucapan hari jadi kepada suaminya yang mesra dengan panggilan Tok Non pada 13 Julai lalu.

“Kita akan melalui kehidupan ini bersama, sama ada di atas atau ketika di bawah, manis atau pahit dan gembira atau sedih,” tulisnya.

Siti Nur Syafiqa merupakan juara Program Realiti Gadis Melayu musim kedua berkahwin dengan Zainal Abidin pada Julai 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata berusia lima dan dua tahun.

Allahyarham turut memiliki empat lagi anak bersama isteri pertamanya, Datin Shazarina Shamsuddin yang meninggal dunia pada 22 Disember 2010 akibat barah hati dan paru-paru.

Syafiqa juga kakak kepada pelakon Syatilla Melvin iaitu isteri, Saheizy Sam.

Semalam, Zainal Abidin menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga pada usia 58 tahun di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.

Allahyarham disahkan menghidap kanser darah (multiple myeloma) pada Mac lalu.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Sungai Acheh, Nibong Tebal kira-kira pukul 5 petang.

Zainal Abidin yang merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah daripada 2006 hingga Mac 2008. – MalaysiaGazette