Ir. Khairil Nizam Khirudin
Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) membantah keras cadangan Jabatan Kesihatan untuk menetapkan harga siling RM125 bagi kadar caj perundingan kesihatan di hospital dan klinik swasta di seluruh negara.

Cadangan kenaikan itu yang dijangka bermula tahun depan dianggap oleh Timbalan Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin sebagai keterlaluan dan mempersoalkan kenapa perlu dinaikkan sehingga 300 peratus.

Katanya, caj RM30 yang dikenakan sebelum ini sudah berpatutan, dan sekiranya Kementerian Kesihatan bersetuju dengan cadangan itu, maka kadar caj tersebut adalah antara tertinggi di Asia.

Ironinya, ujar beliau, walaupun hospital swasta tidak dikenakan Cukai Perkhidmatan 2018 (hanya wad dan makanan sahaja), tetapi cadangan itu akan meningkatkan kos perubatan terhadap rakyat.

“Sepatutnya, kementerian memikirkan kebajikan rakyat dengan membendung kos rawatan yang terlalu tinggi di semua klinik dan hospital swasta termasuk harga ubat-ubatan.

“Ini kerana menurut Bank Negara Malaysia (BNM), kadar inflasi kos perubatan di negara ini berada pada paras 12 peratus,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Abu Bakar yang dilaporkan berkata, kertas cadangan semakan caj yuran konsultasi yang akan diserahkan kepada Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan kenaikan antara RM35 hingga RM125 daripada RM10 dan RM35.

Kenaikan itu dilaporkan dipersetujui pada ‘Sesi Town Hall: Konsultasi Pihak Berkepentingan Bagi Cadangan Semakan Caj Pengamal Am’ yang berlangsung di Kementerian Kesihatan di Putrajaya semalam.

Menurut Ir Khairil Nizam, berdasarkan kajian Marsh Insurance Broker, Malaysia mengalami kadar inflasi perubatan ketiga tertinggi dalam kalangan 11 negara Asia selepas India (14 peratus) dan Indonesia (13.1 peratus).

Tambahan cadangan ini, kata beliau, seiring langkah Kementerian Kesihatan memperkenalkan skim insurans kesihatan sosial bagi isi rumah berpendapatan rendah (B40) tahun hadapan.

“Walaupun masih di peringkat perancangan, ia seolah menggambarkan kerajaan secara beransur semakin mengurangkan subsidi di sektor kesihatan.

“Ini bermakna tekanan kos sara hidup rakyat khususnya B40 dan M40 semakin tinggi sekarang, dan Pakatan Harapan (PH) bukan kerajaan kebajikan rakyat secara umum, sebaliknya pro kumpulan bisnes,” katanya. – MalaysiaGazette