BUTTERWORTH – Seorang wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan, dipercayai dibunuh oleh suaminya, dalam kejadian di rumah pasangan tersebut di Taman Merbau Indah, Sungai Dua di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata penemuan mayat wanita berusia 25 tahun berkenaan dilaporkan oleh suami mangsa pada 2 pagi tadi yang mendakwa menemui isterinya sudah tidak bernyawa ketika pulang ke rumah pada 10 malam tadi.
“Lelaki berusia 25 tahun tersebut mendakwa mereka bergaduh dan dia menolak isterinya sebelum keluar dari rumah mereka pada 5 pagi semalam bersama anak perempuan mereka yang berusia empat tahun. Dia mendakwa balik semula ke rumah pada 10 malam tadi dan mendapati wanita berkenaan telah mati,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurutnya pasukan polis yang ke rumah mangsa, menemukan mayat wanita itu dalam keadaan terlentang di dalam sebuah bilik dengan lima kesan tetakan iaitu dua di bahagian bahu kanan dan satu masing-masing di bahu kiri, leher serta tangan kanan.
Pemeriksaan lanjut menemukan sebilah pisau pemotong daging dengan kesan darah di dalam sinki di rumah itu yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa, katanya.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat dicekik dan dipercayai wanita itu ditetak beberapa kali sebelum dicekik hingga mati,” katanya.
Susulan itu, polis menahan suami mangsa dan berdasarkan siasatan, kejadian disebabkan suami mangsa mendapat tahu isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain sejak tiga minggu lepas.
“Lelaki itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
— BERNAMA