Mengundi awal bagi anggota tentera dan polis di DUN Seri Setia serta DUN Balakong bermula Selasa ini.
Mengundi awal bagi anggota tentera dan polis di DUN Seri Setia serta DUN Balakong bermula Selasa ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 2,801 pengundi awal bagi kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong akan mengundi pada 4 September ini.

Menurut Ahli Suruhanjaya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Md. Yusop Mansor, daripada jumlah itu, 31 pengundi awal, iaitu anggota polis akan mengundi di Ruang Legar Balai Polis Seri Kembangan mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Katanya, seramai 2,770 pengundi awal lagi yang melibatkan anggota tentera dan pasangan mereka serta 173 anggota polis adalah dalam kawasan DUN Seri Setia.

“Bagi anggota tentera serta pasangannya akan mengundi di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang, manakala anggota polis mengundi di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), Shah Alam.

“Pusat Pengundian Awal akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Jelas Md. Yusop, proses pengundian awal itu akan disaksikan ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Di samping itu, katanya, pemerhati pilihan raya melibatkan wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan turut menyaksikan proses pengundian awal itu.

“Untuk makluman, kertas undi awal tidak akan dikira di Tempat Mengundi (saluran) pada 4 September ini, sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap balai polis.

“Pengiraan kertas undi awal itu hanya akan dijalankan pada 8 September secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan ejen calon masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast