KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sudah lama mendesak kerajaan mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi (ASE) bagi menyiasat kes yang melibatkan salah guna kuasa dan rasuah.
Mantan Presiden, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, pertubuhan itu yang pertama mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, desakan itu langsung tidak didengar oleh kerajaan walaupun berdepan pelbagai isu berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
“Semalam, Ketua Pengarah Pusat Govenans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed ada menyatakan kemungkinan pihaknya memperkenalkan undang-undang sabotaj ekonomi negara bagi mengelakkan amalan menjual kontrak atau menyewa permit kepada pihak lain terus berleluasa.
“Ini semua dah lama dicadangkan oleh Perkasa. Malah, pertubuhan kita yang pertama desak kerajaan tubuh RCI untuk siasat 1MDB.
“Saya selalu sebut pasal hal ini setahun yang lalu, termasuk membuat laporan polis apabila MCA mengadakan hubungan dengan Parti Komunis Cina,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Semalam, ketika membentangkan kertas kerja pada Kongress Bumiputera Nasional di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Abu Kassim dilaporkan berkata, individu yang masih meneruskan perniagaan secara Ali Baba juga boleh dianggap pengkhianat negara.
Mengulas lanjut mengenai kongres itu, Ibrahim secara sinis berkata, ia tidak lebih sebagai program ulang tayang untuk tunjuk prihatin sahaja. – MalaysiaGazette