Tan Chee Teong
Calon MCA N.27 Balakong, Tan Chee Teong bercakap kepada media mengenai aduan penduduk berkaitan dengan penukaran lokasi tanah lapang Taman Seri Kota dan Taman Kota di Seri Kota, Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 03 SEPTEMBER 2018

KAJANG – Calon MCA, Tan Chee Teong mengakui beliau ‘keletihan’ kerana berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Memasuki hari yang ke-17, beliau memberitahu, masa rehatnya diperuntukkan hanya lima jam setiap hari dan selebihnya digunakan untuk bertemu pengundi.

Malah katanya, tempoh kempen selama 21 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan akan berakhir Jumaat ini disifatkannya sebagai mencabar dan menguji ketahanan mental serta fizikal.

“Saya mengakui sudah keletihan. 16 hari dah berkempen, otot saya sudah mula terasa sakit. Suara juga mulai serak dan tekak perit. Ia tempoh yang panjang dan kita teruskan sehingga akhir.

“Ada banyak lagi kawasan yang belum saya masuk dan ceramah untuk menarik sokongan pengundi kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat tapak permainan kanak-kanak di Taman Seri Kota di sini, hari ini.

Chee Teong berkata, selain keletihan, beliau juga perlu membaca dan membalas lebih 1,000 mesej WhatsApp daripada orang ramai yang menyatakan sokongan serta membuat aduan kepadanya mengenai masalah dihadapi mereka.

“Selepas jam 12 malam, saya akan membaca dan membalas mesej WhatsApp. Selepas itu saya tidur jam 1 pagi dan bangkit pada jam 6 pagi untuk bersedia meneruskan kempen,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, banyak perkara harus difikirkan olehnya dalam menyelesaikan permasalahan penduduk di kawasannya.

Daripada isu pemansuhan tol yang acap kali menjadi buah mulut masyarakat di Balakong setiap kali mengadakan pertemuan sepanjang berkempen, perkara lain yang turut difikir untuk diselesaikan ialah banjir, sampah, denggi dan sistem saliran.

“Saya sebagai pembangkang harus tolong memperjuangkan hak mereka, saya hanya mengutarakan isu tempatan agar pihak berkaitan mengambil tindakan segera,” katanya.

“Sebagai pembangkang juga kami harus laksanakan sistem semak dan imbang,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast