Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mengecam sekeras-kerasnya tindakan kumpulan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang jenayah Syariah.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan menegaskan, tindakan tersebut keterlaluan dan sangat biadap sehingga dilihat mencabar kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan di negara ini.

“Undang-undang Syariah jelas diperuntukkan di dalam Jadual 9 (Senarai II – Senarai Negeri) Perlembagaan Persekutuan merangkumi hukum-hakam syarak, undang-undang diri dan keluarga bagi mereka yang menganut agama Islam.

“Undang-undang Jenayah Syariah adalah hak eksklusif untuk orang Islam di setiap negeri.

“Cadangan untuk menyatukan undang-undang jenayah hanya di bawah satu Kanun Keseksaan di bawah jurisdiksi Persekutuan adalah tidak relevan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nasrudin berkata, undang-undang Jenayah Syariah adalah berasaskan sumber-sumber syarak walaupun ia sangat terhad kepada hukuman maksimum enam kali sebatan, denda sehingga RM5,000 dan tiga tahun penjara sahaja.

“Hukuman ini telah ditetapkan sejak 1998 dan belum pernah dipertingkatkan sehingga kini.

“Malah Tuan Guru Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah kemukakan Rang Undang-Undang Persendirian untuk pinda Akta 355 bagi memperkasa Mahkamah Syariah dapat dilunaskan, tetapi belum berjaya,” katanya

Katanya, kumpulan JAG dan Majlis Peguam Negara perlu memahami prosedur hukuman yang dilakukan oleh institusi mahkamah Syariah dan bukannya melabel sebagai perundangan zalim dan barbaric.

“Berdasarkan kes terbaru melibatkan dua orang wanita disabitkan kesalahan musahaqah di bawah Seksyen 30, Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu.

“Pas sangat menghargai usaha yang dilakukan oleh pihak mahkamah. Mudah-mudahan pelaksanaan hukuman tersebut mengundang kesedaran dalam kalangan rakyat dan keinsafan buat pesalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. buat dulu lah apa yang ada tak payah perkasakan 355 .yang belum lulus tu . yang ada pun baru kali pertama buat . selama ini apa penghalangnya . tapi nak minta lebih yang kurang pun tak buat . yang dah ada pun cukup lah dulu untok buat pengajaran . kalau masih rakyat tak takut barulah minta tambah sampai 100 .

Comments are closed.