Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

SHAH ALAM – UMNO dan Pas kini dilihat boleh duduk bersama khususnya sepanjang berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia kerana kedua-dua parti itu gagal dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, UMNO gagal mengekalkan sokongannya dalam PRU14 sebaliknya Pas pula gagal meneruskan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat (PR) menuju ke Putrajaya.

“UMNO gagal mempertahankan hujah dia sehingga rakyat tak boleh terima UMNO dan Barisan Nasional. UMNO kempen guna segala-galanya, tapi rakyat buat perubahan dengan tidak mengundi UMNO, kalah.

“Pas mengimpikan UMNO kalah, Pas nak masuk Putrajaya, sebab kita dengan UMNO sudah lama bertarung. Maka Pas berkawan dengan semua orang untuk pastikan UMNO kalah, maka kita berada dalam PR.

“Sebagaimana UMNO gagal pertahankan dirinya, Pas juga gagal pertahankan diri dalam PR.

“Ini dua parti yang gagal, sebab itu hari ini kena duduk sekali sebab dua-dua gagal,” katanya dalam Ceramah Mega PRK N32 Seri Setia di padang futsal, TTDI Jaya, di sini, malam tadi.

Ceramah Mega Pas
Antara penyokong PAS yang hadir pada Ceramah Mega sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 SEPTEMBER 2018

Ahli Parlimen Bachok itu juga berkata, beliau tidak yakin Pas mampu menjawab pertanyaan rakyat jika bersama PH membentuk kerajaan susulan gagal menunaikan janji 100 hari.

“Apa kita nak jawab dengan persembahan selama 100 hari, mampukah Pas nak tegur orang tua yang umur 93 tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pelik semalam.

“Maknanya, untuk meruntuhkan UMNO kita mengambil seorang tua yang pernah jadi Perdana Menteri, di mana rekodnya diketahui oleh seluruh makhluk Allah di bumi Malaysia ini.

“Kita beri keyakinan kepada dia sekali lagi dan hari ini kita nampak apa yang berlaku.

“Orang tua yang kita terpaksa layan, sebab dia orang tua, kalau budak kita bagi penampar dah, orang tua tak boleh sebab kita kena hormat orang tua,” katanya. – MalaysiaGazette