Tan Chee Teong
Tan Chee Teong

BALAKONG – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim didakwa menghina dewan apabila mencadangkan kenaikan elaun kehadiran kepada wakil rakyat untuk menghadiri perbahasan.

Calon MCA, Tan Chee Teong berkata, sebagai speaker, beliau sepatutnya sedar bahawa menghadiri persidangan DUN adalah tugas asas setiap wakil rakyat.

“Inilah sebab utama mereka dipilih, iaitu untuk menjadi suara rakyat, membangkitkan masalah tempatan dan membahas dasar-dasar kerajaan dalam DUN.

“Sebagai ADUN, mereka sememangnya menerima bayaran dari dana awam untuk menghadiri persidangan DUN.

“Jika tugas asas itu masih tidak mampu dibuat, maka elaun mereka sepatutnya dipotong sebagai hukuman.

“Ini akan menjadi amaran kepada ADUN lain. Sebaliknya, Ng Suee Lim mahu menaikkan elaun untuk ‘menggalakkan’ wakil-wakil rakyat menghadiri sesi DUN,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chee Teong berkata, wang rakyat tidak wajar dibazirkan sebagai insentif untuk menghadiri sesi perbahasan.

Ini kerana, kehadiran mereka di sidang DUN adalah tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Sekarang, ini memberikan gambaran bahawa, ADUN terpaksa dibayar lebih untuk menghadirkan diri. Ia seakan rakyat meminta mereka menyertai sesi perbahasan.

“Apakah sebab di sebalik cadangan tersebut? Ini bukan cara yang betul. Lebih-lebih lagi, berdasarkan rekod, persidangan DUN hanya bermesyuarat selama 20 hingga 30 hari setahun. Jika wakil-wakil rakyat tidak menghadiri sesi DUN, apa lagi kerja mereka? soal beliau.

Dalam pada itu beliau mengharapkan, calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki dan semua 49 ADUN kerajaan, dan kesemua 5 ADUN pembangkang menolak cadangan Suee Lim itu.

Katanya, beliau mengharap agar Selangor mempunyai sebuah DUN yang lebih baik, tetapi apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya.

“Jika mereka tidak hadir tanpa memberi sebab yang munasabah, elaun mereka patut dikurangkan sebagai amaran kepada yang lain,” tegasnya.

Pada pertengahan bulan lalu, Suee Lim mengumumkan mahu mempertimbang berbagai kaedah bagi menggalakkan sesi perbahasan ketika Dewan Undangan Negeri bersidang bulan ini yang antaranya akan menaikkan elaun kehadiran untuk para ADUN.

Langkah itu kataya, amat penting bagi memiliki dewan yang aktif, terutamanya dengan pembangkang hanya mempunyai lima daripada 56 kerusi DUN.

Suee Lim berkata. pembangkang yang kuat diperlukan bagi menyemak kerajaan yang memerintah supaya memastikan kecekapan urus tadbir dan mencegah rasuah serta memelihara kualiti cabang legislatif itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast