Tan Chee Teong
Tan Chee Teong

BALAKONG – MCA mempersoalkan kemampuan barisan exco negeri Selangor menjalankan tugas berkepentingan rakyat memandangkan 60 peratus peruntukan negeri dikawal ketat Menteri Besar.

Calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Balakong Tan Chee Teong berkata, tindakan itu tidak akan menjamin dasar semak dan imbang kerajaan Pakatan Harapan yang diuar-uarkan selama ini.

Katanya sejak tahun 2012, hampir separuh daripada peruntukan pembangunan disalurkan kepada pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Malah jelasnya pada tahun 2016 jumlah berkenaan dinaikkan sehingga mencecah 60.7 peratus keseluruhan dana pembangunan.

“Bagi RMK-11 dari tahun 2016 hingga 2020, sebanyak 4.06 bilion atau 58 peratus daripada peruntukan pembangunan RM7 bilion disalurkan kepada pejabat MB dan pejabat SUK.

“Bagaimanakah exco-exco negeri mampu menjalankan tugas mereka jika 60 peratus peruntukan negeri dikendalikan MB.

“Sekiranya beliau menyalahgunakan kuasa atau penyelewengan dana adakah ahli-ahli DUN berani membantah dan memperoalkannya,” katanya dalam sidang media kempen PRK di Batu 11 Cheras di sini.

Tambah beliau laporan Audit tahun 2017 juga menunjukkan dari tahun 2014 higga 2016, Perbadanan Menteri Besar (MBI) dibawah MB telah memberi geran sebanyak RM28 juta kepada Communication Corporation Sdn.Bhd, iaitu syarikat yang dikendaikan Media Selangor dan Selangor Kini.

Justeru dakwanya laporan audit berkenaan juga menyatakan bahawa pelantikan pembekal perkhidmatan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tiada kontrak rasmi disediakan.

“Malah kajian dan pengumpulan maklum balas rakyat oleh sebuah syarikat bebas tidak menurut peraturan.

“Di sini kita dapat melihat walaupun kerajaan negeri telah menetapkan mekanisme semak dan imbang, mereka sendiri tidak mematuhinya.

“Adakah ini maksudnya “semak dan imbang dalaman” yang dimaksudkan calon Wong Siew Ki? dan kenapa ADUN kerajaan negeri PH itu tidak mampu bersuara.

“Apakah berkemungkinan mereka tidak sedar akan masalah ini,” soalnya.

Chee Teong juga mendakwa masalah berkenaan semak dan imbang berpunca daripada kerajaan yang terlalu kuat dan kuasa MB yang meluas.

“Paling penting kekurangan pembangkang untuk melakukan semak dan imbang.

“Saya tak pasti apakah penduduk Balakong sedar akan situasi serius ini dan boleh sesiapa membantu kita.

“Berdasarkan contoh yang ditunjukkan kerajaan negeri, jelas semak dan imbang dalaman itu sekadar janji kosong yang tak mampu dilaksanakan.

“Maka demi masa depan Selangor sokonglah sistem dua parti yang sihat memasitkan semak dan imbang terhadap tadbir urus kerajaan negeri sentiasa dipantau,”  – MalaysiaGazette