Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bercakap kepada media pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2018
Lim Guan Eng. foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya, DAP menggesa pengundi menidakkan kemenangan MCA pada Pilihan Raya Kecil Balakong dengan memberi mandat kepada calon PH, Wong Siew Ki pada 8 September ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu bagi menyekat UMNO, MCA dan Pas daripada memecahbelahkan rakyat dengan politik kebencian, perkauman dan ekstrimisme agama yang didakwa mengkaburi mata rakyat tentang sokongan MCA kepada GST, Skandal 1MDB dan skandal bayaran balik GST serta cukai berjumlah RM32.25 bilion.

Menteri kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, MCA tidak layak menerima sokongan rakyat kerana bersifat chauvinis yang hanya memperjuangkan satu kaum.

“MCA menuduh saya pula mengkhianati Cina walaupun sebagai Menteri Kewangan saya meletakkan diri sebagai anak bangsa Malaysia.

“Pada masa yang sama MCA mengkhianati rakyat dengan bukan sahaja sokong UMNO yang bersifat perkauman malah bekerjasama sama dengan parti ekstrimis Pas yang menanam sikap menghasut terhadap bukan Islam dan bukan Melayu,” katanya dalam kenyataan menjelang PRK Sabtu ini.

Tambah beliau, kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan berlainan daripada ekstremisme agama dan perkauman dengan menitikberatkan perpaduan kaum sebagai sebahagian daripada semangat satu bangsa Malaysia.

Ujarnya buat julung kali ini DAP bertanding di bawah logo PH yang mewakili konsep Bangsa Malaysia, negara yang dimiliki semua dengan menyelesaikan masalah bersama dan menikmati manfaat sebagai keluarga besar.

Katanya, tindakan MCA, UMNO dan Pas cuma mahu memecahbelahkan rakyat dan memusnahkan perpaduan, jauh berbeza dengan Pakatan Harapan yang berusaha menyatukan rakyat Malaysia.

Guan Eng menyentuh mengenai skandal penyelewengan 1MDB, katanya kerajaan Pusat bersungguh sungguh untuk membawa pelaku skandal kewangan itu yang mengakibatkan hutang negara mencecah lebih RM1 trilion.

“Tindakan penyeleweng 1MDB mengakibatkan kesejahteraan ekonomi rakyat terjejas dan PH terpaksa menggantikan GST dengan Cukai Jualan untuk memulihkan keadaan kepada sedia kala,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa SST akan mengundang bencana kenaikan harga barang dalam tempoh dua tahun sebagai percubaan UMNO dan MCA menghidupkan semula GST dari kubur.

Beliau menggesa rakyat bersatu di bawah Payung PH sebagai satu bangsa dan satu parti, menolak parti chauvanis MCA yang memperjuangkan satu kaum sambil bekerjasama dengan parti rasis Pas yang menghasut bukan Melayu.

“Mari kita bersatu menyokong PH ke arah negara yang bersih, bebas rasuah, adil dan demokratik sekaligus dihormati dunia.

“Dengan menjunjung kedaulatan undang-undang kita menolak parti politik yang telah membawa Malaysia ke arah kerakusan kuasa, ketidakadilan dan korupsi sehingga Malaysia digelar kleptokrasi global.

“Mari kita menyokong juga bukan sahaja kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad malah penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya serta lima pemimpin DAP lain iaitu M. Kulasegaran, Gobind Singh Deo, Teresa Kok, Yeo Bee Yin, dan Nga Kor Ming dalam kabinet serta Speaker Dewan Rakyat,” tegasnya.- MalaysiaGazette