Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan akan hadir pada Muktamar Tahunan Pas kali-64 di Terengganu 14 September ini.

Katanya, selain beliau, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan dan barisan kepimpinan tertinggi tiga sayap parti itu juga akan hadir untuk memberi sokongan kepada Pas

“Saya baru terima jemputan untuk ke muktamar Pas. Ya, saya dan rakan-rakan kepimpinan tertinggi UMNO akan hadir untuk memberi sokongan dan dokongan kepada Pas,” katanya pada ceramah Grand Finale – Ceramah Mega Kesatuan Blok Pembangkang di kawasan perumahan PJS 8, dekat sini, malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau telah berjumpa dengan seluruh kepimpinan dan jentera UMNO Selangor untuk memberitahu komitmen parti berhubung kerjasama yang terjalin dengan Pas.

Menurutnya, seluruh jentera itu termasuk Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Ismail Sabri mereka berjanji akan bekerja keras tanpa sebarang imbuhan atau upah untuk memenangkan calon Pas, Dr Halimah Ali di DUN Seri Setia.

“Ini bukan soal upah atau imbuhan. Ini bukan soal imbal balas kita kepada rakan kita, Pas.

“Selain itu, mereka dan masyarakat di luar sana juga menyedari telah tertipu oleh Pakatan Harapan pada PRU14 yang lalu.

“Mereka tertipu dengan janji, tertipu dengan manifesto dan ini merupakan referendum kita untuk mengalahkan calon PH dan memenangkan calon Pas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast