Saifudin Nasution Ismail
Saifudin Nasution Ismail

ALOR SETAR – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa pengumuman mengenai kerusi parlimen yang akan ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan dibuat sekembalinya beliau dari Hong Kong, Rabu ini.

Beliau berkata Anwar telah menghubunginya semalam sebelum berlepas ke Hong Kong bagi memberi arahan untuk ‘mempersiapkan’ kerusi-kerusi berpotensi yang akan ditandingi presiden parti, yang dipilih itu dalam masa terdekat.

“Kerusi (berpotensi) itu asalnya tiga, tapi sehingga semalam setelah di ‘zoom in’ jadi dua, semalam dia telah hubungi saya untuk memberikan gambaran dan saya ada beberapa tugasan untuk disiapkan, mungkin waktu di Hong Kong nanti beliau akan buat keputusan satu daripada kerusi itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di sini hari ini.

Saifuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata kerusi yang akan dipilih oleh Anwar itu nanti adalah kerusi paling selamat berdasarkan kepada kajian serta mengambil kira keputusan pada pilihan raya umum yang lepas.

“Kami sudah ambil kira semua termasuk keputusan pilihan raya umum yang lepas, peratus keluar mengundi, isu politik semasa yang berlegar serta isu dimainkan pembangkang selama pembangkang belum keluar tajuk politik perkauman, agama serta sengketa kaum,” katanya.

Saifuddin turut mengesahkan bahawa kerusi yang bakal ditandingi Anwar nanti bukanlah kerusi dari negeri-negeri di utara semenanjung seperti dilaporkan akhbar-akhbar tempatan, yang beliau sifatkan sebagai spekulasi semata-mata.

Beliau meminta orang ramai agar tidak mudah mempercayai berita-berita serta gosip bertebaran dan menegaskan bahawa apa-apa pengumuman mestilah datang daripada setiausaha agung sebagai sumber yang paling berhak dan mengikut undang-undang dalam sesebuah parti.

Mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bahawa belum ada perbincangan di peringkat tertinggi mengenai pemilihan kerusi untuk Anwar, Saifuddin berkata Anwar sendiri telah membuat pengumuman terbuka bahawa beliau akan kembali ke Parlimen Oktober ini.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast