C. Sivarraajch
C. Sivaraj

TANAH RATA – Walaupun sudah bertukar kerajaan, isu yang melibatkan kepentingan rakyat di negara ini perlu menjadi keutamaan semua pihak berwajib tanpa mengira ideologi politik masing-masing.

Demikian luahan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh berhubung kesesakan lalu lintas yang begitu ‘kronik’ di kawasan itu setiap kali cuti hujung minggu dan cuti umum dengan anggaran pengunjung tempatan dan pelancong yang mencecah 50,000 orang.

Menurut Sivarraajh kepada MalaysiaGazette, ketika menjadi koordinator dan calon Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau telah memberi cadangan dan sudah mendapat kelulusan bagi melaksanakan ‘Pelan Mitigasi Kesesakan Lalu Lintas’ di kawasan itu.

Kata beliau, pelan tersebut melibatkan pelaksanaan kajian, penambahbaikan serta pembukaan laluan baharu dan pembinaan kawasan parkir kenderaan bertingkat bernilai hampir RM40 juta bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands secara strategik.

Namun, selepas mengalami ‘kejutan’ pertukaran kerajaan pada 9 Mei lepas, usaha tersebut terpaksa ‘dihentikan’ dan terencat sehingga kini.

“Cuba anda bayangkan, daripada 20,000 pelancong dalam dan luar negara, kini sejak empat hari lepas ianya sudah mencecah sehingga 50,000 orang. Sudah tentu kesesakan ini berlaku apatah lagi ini sememangnya tempat tumpuan pelancongan negara. Semua pusat penginapan penuh. Lalu lintas sentiasa sesak.

“Kita sedang lakukan yang terbaik bagi mengatasi kesesakan ini. Saya amat prihatin dan sedia maklum dengan keluhan para pengunjung dengan permasalahan ini. Kita sudah mempunyai pelan jangka panjang bagi menangani perkara ini namun pertukaran kerajaan telah merencatkan perancangan ini.

“Bagaimanapun, saya telah berbincang bersama kepimpinan di Pahang bermula dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi penubuhan jawatankuasa sementara di bawah Pusat Khidmat Ahli Parlimen Cameron Highlands untuk menilai dan merancang semula inisiatif baharu bagi tujuan mitigasi kesesakan lalu lintas di sini ketika ini.

“Semua hasil kajian serta cadangan jawatankuasa ini akan dibawa ke perhatian kementerian berkaitan di peringkat kerajaan Pusat dan negeri. Saya amat percaya pelan mitigasi kesesakan lalu lintas ini perlu dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan persekutuan, saya mohon perhatian,” katanya.

Kesesakan luar biasa di Cameron Highlands sejak 4 hari lepas

Sivarraajh mengulas aduan orang ramai sejak beberapa hari lepas terutamanya dalam laman sosial yang menjadi viral tentang kesesakan ‘luar biasa’ sehingga merencatkan percutian masing-masing.

Kesesakan lalu lintas itu dikatakan luar biasa berikutan cuti hujung minggu dan cuti umum sempena ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Awal Muharam.

Bukan sahaja lalu lintas sesak teruk sehingga menyebabkan mereka terpaksa menunggu selama berjam-jam, malah setiap penginapan termasuk hotel penuh dan sudah tidak mampu menampung kehadiran pelancong yang semakin ramai.

Tambah beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, kerajaan pusat perlu juga mengambil perhatian tentang isu ini kerana sebahagian besar daripada ekonomi Cameron Highlands dijana oleh sektor pelancongan yang bernilai hampir RM260 juta setiap tahun.

“Saya percaya bahawa Cameron Highlands memerlukan satu pelan mitigasi kesesakan lalu lintas yang komprehensif dan efektif dalam jangka panjang. Kita perlu memberi perhatian kerana akhirnya ini melibatkan kepentingan negara dan rakyat serta bukan lagi siapa berkuasa,” ujarnya. – Malaysia Gazette