Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada sidang media mengenai penganjuran program debat terbuka di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya. foto MIRZA HASIM, 12 SEPTEMBER 2018

PUTRAJAYA – Satu sesi debat awam bagi mempertingkatkan budaya berdebat bertaraf dunia dalam kalangan belia termasuk juga mahasiswa bakal diadakan tidak lama lagi.

Debat awam itu merupakan anjuran usahasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Universiti Islam Antabangsa Malaysia (UIAM).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, objektif utama debat itu bertujuan melahirkan budaya berdebat dalam kalangan golongan belia di negara ini dan tidak mahu ia khusus kepada pakar debat profesional semata-mata.

Katanya, sudah lama Malaysia ‘mengasingkan’ diri daripada debat awam melibatkan isu-isu penting mencakupi dasar negara untuk dibincangkan dan berkongsi pandangan melibatkan belia dan pemuda negara ini.

“Kami pernah ke Universiti Oxford dan beberapa buah universiti terkemuka lain di dunia ini yang mana menganjurkan debat awam bagi membincangkan segala isu-isu berkaitan dasar nasional negara.

“Malangnya, kita Malaysia leka dan sudah berdekad lama mengasingkan diri dari faktor berkenaan kerana dianggap isu terlampau sensitif tidak boleh diberi ruang perbincangan melibatkan remaja dan awam.

“Atas dasar itulah kita mengambil pendekatan berani menjalin kerjasama dengan UIAM akan menganjurkan siri debat awam sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media hari ini sempena penganjuran debat bertajuk “Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar Adalah Satu Kesilapan” yang akan dilancarkan oleh Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

Debat itu dijadualkan berlangsung pukul 8 malam pada 18 September ini di Pusat Kebudayaan UIAM anjuran World IIUM Debate dan Oratory Centre.

Tambah beliau, UIAM yang sememangnya mempunyai pasukan pendebat hebat menduduki rangking teratas di Asia dipilih untuk menerajui debat awam berkenaan.

Katanya, debat itu julung kali akan diadakan dalam lapan siri sepanjang tahun bermula September ini sehingga Ogos 2019 dan akan melibatkan dua pendebat senior berpengalaman dan dua pendebat junior dalam sesi berdurasi 20 minit itu.

“Kita percaya selain melahirkan pendebat yang berfikiran kritikal dan berani melontarkan pandangan, juga mahu memastikan idea dan pandangan anak muda ini mampu membawa impak kepada dasar nasional di masa hadapan.

“Justeru pada masa sama, kita juga secara tidak langsung mampu melahirkan anak muda yang berkemahiran bertutur dan berdebat dalam bahasa Inggeris ke tahap terbaik bertaraf global secara amnya.

“Mana-mana UA (universiti awam) dan US (universiti swasta) yang cenderung untuk menjadi penganjur siri debat awam lain sangat dialu-alukan,” ujar beliau.

Beliau berpendapat, pemilihan topik berkenaan tepat pada masa ketika akta berkenaan kini melalui proses bacaan di Parlimen untuk dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Pengarah UIAM, Siti Aliza Alias berkata, forum debat awam melibatkan merupakan merupakan idea Syed Saddiq dalam memastikan belia di negara ini mewujudkan budaya negara berdebat yang matang.

“Kali ini topik Akta Anti Berita Tidak Benar dipilih untuk perbincangan terbuka di mana pemuda awam juga dialu-alukan hadir ke debat ini dan melontarkan pandangan secara bebas.

“Lapan siri debat awam ini tidak terhad kepada topik tertentu sahaja, malahan kita sedia menerima topik dari sektor akademik, sains, ekonomi, politik serta sukan yang boleh dibincangkan tanpa kepompong sensitif.

“Jawatankuasa pemilihan akan bertanggungjawab untuk menerima segala topik serta pendebat supaya perjalanan debat lebih kritis dan terbuka tetapi waras dan sihat tanpa dipengaruhi emosi kebencian dan input retorik,” katanya.

Tambah Siti Aliza, pihaknya berobjekif dalam menggalakkan belia dan pemuda melibatkan diri dalam debat awam secara aktif selepas ini disamping menjadi individu yang berintelektual.

Ujar beliau, pihaknya mempunyai visi menjadikan UA dan US di negara ini menjadi kuliah terbuka untuk debat dunia selain berperanan sebagai insititusi berilmu tinggi.

“Dalam debat awam ini kita mengalu-alukan pandangan awam mengenai topik yang hendak diketengahkan untuk medan perbincangan oleh kami nanti sepanjang lapan siri berkenaan,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast