Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusof mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson adalah disebabkan oleh Rafizi Ramli.

Dalam satu entri Facabook rasminya hari ini, Kamarul berkata, usaha untuk mengembalikan Anwar ke Dewan Rakyat sudah dirancang dengan teliti oleh bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

“Jika pilihan adalah antara P097 Selayang dan P132 Port Dickson maka Port Dickson akan menang kerana Pengerusi PKR Negeri Sembilan merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun adalah pendokong kepada Team Rafizi berbanding Pengerusi PKR Selangor, iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri.

“Disebabkan penglibatan aktif dan meluas team Rafizi Ramli di dalam mengaturkan usaha mengembalikan semula Anwar ke Parlimen maka sudah tentulah pemilihan kerusi di negeri yang Pengerusi PKRnya berada dalam team sama,” katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan PKR hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih kerusi Port Dickson untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Kamarul berkata, Anwar dilihat memilih kawasan paling selamat untuk beliau bertanding dengan mengambil kita komposisi pengundi di kawasan terbabit yang berpaksikan kawasan campuran.

“Tidak seperti yang saya harapkan, iaitu supaya Anwar membuktikan beliau bukanlah seorang penakut yang hanya mencari kawasan selamat sekali gus akan benar-benar menguji keampuhan kerjasama UMNO dan Pas.

“Beliau (Anwar) akhirnya memilih untuk bertanding di P132 Port Dickson milik Datuk Danyal Balagopal Abdullah di selatan (Negeri Sembilan),” katanya lagi.

Komposisi pengundi di Port Dickson adalah terdiri daripada 55.08 peratus adalah bukan Melayu (Cina 33.11% dan India 21.97%), 42.72 peratus adalah pengundi Melayu dan 2.21 peratus adalah lain-lain bangsa.

Pada PRU lalu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mendapat 36,225 undi dengan menewaskan calon BN, Datuk V Mogan (18,515) dan calon Pas Mahfuz Roslan (6,594). -MalaysiaGazette